Reggae dan pulau seakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dan cukup sinonim antara satu sama lain. Manakan tidak, origin muzik ini yang lahir di sebuah negara kepulauan Carribean, iaitu Jamaica ini tidak asing lagi dalam peradaban seni muzik moden dunia yang banyak membicarakan pelbagai mesej, waimah percintaan mahupun perang terhadap tekanan dan ketidak adilan sang pemegang kuasa.
Ciri-ciri ini juga bagi penulis mungkin menjadi tunjang kepada sebuah kugiran reggae dari Pulau Pinang, Malaysia; iaitu The Island. Mereka kekar dengan konsep sub genre roots rock reggae berimejkan warna ikonik hijau, kuning dan merah selain mesej mendalam tentang keamanan dunia dan cinta sejagat yang selesa menyadur gaya muzik ikon reggae terkenal, Bob Marley dan para pelopor sub genre ini sejak pertengahan 70-an.
Menurut sang kapitan kugiran ini, Tamizie Jidin; kugiran ini mula dibentuk sebagai kugiran projek sahaja pada pertengahan 2008 di Seberang Jaya, Pulau Pinang dengan 5 orang anggota asal namun hanya berbaki Tamizie Jidin (vokalis) dan Fazli Salleh (pemain dram) sahaja daripada barisan permulaan tersebut. Selain mereka berdua, kugiran ini kini dibarisi 4 lagi anggota iaitu Latiff (pemain gitar), Ridhwan Marr (pemain gitar), Ody (pemain bass) dan Shahrul (pemain percussion).
Menurut Jidin juga, pada asalnya The Island tiada visi dan misi khusus untuk bergerak serius dan menerbitkan karya; atas sebab setiap anggota kugiran sudah punya komitmen terhadap kugiran masing-masing. Aktiviti utama mereka pada awalnya hanyalah jamming di studio dengan menyadur lagu-lagu Bob Marley, Inner Circle dan banyak lagi pemuzik yang membawakan sub genre roots rock reggae.
Apa yang menariknya, tiada seorang pun daripada anggota asal The Island ada pengalaman bermain genre reggae yang tampak mudah, tetapi kompleks untuk dimainkan. Namun, atas minat mendalam, mereka tidak mudah putus asa dalam menguasai permainan genre ini. Dengan berseloroh, Jidin turut mengatakan:
“Bila ingat-ingat balik memang ngeri permainan kami pada masa tu. Tapi sebab minat mendalam, kami hentak juga!”
Mulai aktif pada tahun 2013 sehingga 2020, mereka masih lagi bergiat aktif dalam jemputan persembahan di berbagai-bagai acara dari pelbagai negeri tanpa prejudis. Bersyukur dengan perjalanan seni muzik mereka sejak 2008, maka lahirlah sebuah EP yang mengandungi 5 buah lagu yang bakal penulis review di bawah.

Jidin dan rilisan sulung The Island
POWER UP YOUR MOOD (EP)
Trek yang terkandung:
- Kehidupan
- Power Up Your Mood
- Peace, Love And Harmony
- Hadir
- Forever Free
EP yang mengandungi 5 buah lagu dan mempertaruhkan judul salah satu single mereka, Power Up Your Mood sebagai judul EP ini dimulakan dengan sebuah intro berjudul Kehidupan yang berdurasi 1.16 minit. Ianya bermodalkan monolog puisi sang vokalis diiringi muzik percussion dan bunyi latar bercorakkan alam semulajadi. Sekali dengar sahaja, penulis sudah tahu puisi ini mahu mengajak kita untuk menghargai alam semulajadi ciptaan Tuhan dan bersyukur dengan apa yang kita ada walaupun kehidupan semakin menekan. Mesej sejagat yang tampak tipikal dengan kebanyakan kugiran berkonsepkan roots reggae serata dunia ini turut diteruskan dengan cara tersendiri oleh The Island.
Teaser: Kehidupan
Menelusuri trek kedua yang berjudul Power Up Your Mood, penulis dapat rasakan The Island mahu mengajak para pendengar untuk sama-sama bergoyang dan skanking dengan irama reggae yang mereka bawakan. Karya ini pada penulis kedengaran biasa sahaja pada permulaannya, diselangi dengan lirik yang biasa ditemui dalam mana-mana lagu reggae yang lain dalam konteks yang sama:- mengajak pendengar menikmati muzik reggae.
Tidaklah penulis bosan dengan gaya lirik sebegini, namun penulis rasa The Island boleh pergi lebih jauh jika lirik tipikal sebegini tidak diteruskan. Ini kerana reggae sudah dikenali ramai sebagai muzik yang mengajak kita menari, sedari awal permulaan muziknya lagi. Namun, di sebalik kelonggaran di bahagian lirik, penulis agak khayal dan hanyut mendengarkan bahagian gitar solo lagu tersebut serta penambahan effects yang melintas sekali-sekala pada landasan susunan lagu.
Teaser: Power Up Your Mood
Lagu pada trek ketiga EP mereka berjudul Peace, Love And Harmony kedengaran sangat istimewa pada penulis. Susunan lagu ini tampak ampuh, sesuai sangat dipertaruhkan sebagai single utama EP ini. Siap ada video klip lagi, yang mana anda boleh akses di saluran YouTube mereka.
Adunan lirik yang mudah untuk difahami mesejnya, iaitu penghargaan kepada alam semulajadi ciptaan Tuhan serta cinta sejagat dengan susunan muzik ala-ala muzik dunia dari Sarawak sangat membuai jiwa. Ia lantas mengingatkan penulis kepada gaya muzik Zainal Abidin semasa beliau membawa konsep muzik dunia di era 90-an dahulu.
Klip video: Peace, Love And Harmony
Hadir merupakan judul kepada single pada trek keempat daripada EP ini. Jelas kedengaran lagu ini hangat dengan konsep percintaan sejagat melalui liriknya. Bagi penulis, lagu ini lebih menjurus kepada konsep ketuhanan dengan lirik yang mendambakan kasih daripada satu kuasa yang lebih besar dari kita. Ini dapat dimanifestasikan melalui bait lirik ini:
“Jangan pernah tinggalkan aku, Jangan berhenti memeliharaku, Suluhkan terang pada gelap jalanku, dengan cahayamu!”
Namun, tidaklah ia jumud terhadap konsep itu sahaja. Ia boleh diertikan kasih kepada pasangan, atau kepada sesiapa sahaja.
Susunan lagu ini turut menjentik jiwa penulis sejajar dengan lirik yang dipertaruhkan. Suka penulis katakan, The Island perlu banyakkan mengadun muzik mereka dengan bunyian organ seperti yang terkandung dalam lagu ini. Reggae lebih lengkap dengan alunan organ kerana ia lebih memberi nyawa kepada susunan lagu reggae tersebut, sementelah lagu Hadir ini banyak bermain dengan perasaan.
Klip audio: Hadir
Trek kelima yang berjudul Forever Free ini pekat dengan mesej pengertian kebebasan dalam kehidupan. Ia jelas mentaksirkan bahawasanya manusia dilahirkan bebas dan kebebasan itu perlu dikekalkan supaya kita dapat hidup aman dan harmoni. Namun mudahnya berkata tentang bebas, tapi tidak mudah untuk menterjemahkan melalui perbuatan, tatkala tekanan dan ketidak adilan berlaku di mana-mana sahaja di dunia.
Susunan lagu yang jelas menterjemahkan seni punky reggae yakni rebellious sound ini sangat tepat dan sesuai dengan lirik yang diadun bersama. Lagu ini tampak lebih kekar dan memiliki kekuatannya yang tersendiri berbanding lagu-lagu lain yang dipertaruhkan. Dengan bass line yang groovy dan riff gitar yang padu, pasti mengajak anda untuk berasa aggravate sambil kaki melangkah untuk skanking dan pogo.
Teaser: Forever Free
Kesimpulan yang penulis boleh dapat dari karya-karya The Island yang dimuatkan dalam EP ini adalah, masih ada sinar dan harapan buat scene roots reggae Malaysia yang masih dibayangi kugiran-kugiran lama seperti Pure Vibracion dan Republic Of Brickfields. Kehadiran The Island dan terbitnya EP mereka ini memberi satu peluang baharu buat para peminat muzik dari Jamaica ini untuk menambah nama baharu dalam koleksi discographies mereka.
Walau bagaimanapun, penulis harap, The Island dapat mengorak langkah lebih padu bagi karya-karya mereka akan datang dan menghasilkan susunan muzik dan lirik yang lebih ampuh tanpa rasa selesa dengan bunyian tipikal yang selalu sangat didengari dari sub genre ini. Syabas buat The Island atas usaha mereka, dan tahniah atas kelahiran EP sulung ini. Semoga maju jaya penulis doakan buat The Island.
Ikuti perkembangan semasa The Island di: