Tajuk Single: Kebangkitan Umat
Tarikh Pelancaran: 22 May 2021
Setiap tahun kita dikejutkan dengan isu Palestin dan Israel yang tak pernah habis dengan peperangan dan lebih menyedihkan ramai insan tak bersalah terkorban terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak. Malaysia antara negara yang menentang penindasan Israel terhadap Palestin dan dalam usaha untuk membantu Palestin, ada yang melancarkan Tabung Kilat, ada yang ke Palestin untuk membantu dan ada juga yang melancarkan single yang ditujukan buat Palestin. Tidak terlepas juga di sini, Ali Idris dan Para Penonton (AIPP) baru sahaja melancarkan single keempat bertajuk Kebangkitan Umat dan ditujukan khas buat isu yang terjadi pada masa sekarang.
Buat yang tidak mengenali, Ali Idris dan Para Penonton berasal dari Johor Bahru dan mula memberi impak pada tahun 2020 dengan single pertama iaitu Menambat Hatimu dan pada tahun 2021 pula, beliau telah bergerak laju dengan melancarkan single kedua dan ketiga iaitu Perhiasan Kesayangan dan Hujan September.
Kali ini beliau muncul sekali lagi dengan garang, berbeza berbanding single-single sebelum ini. Seperti biasa, untuk edisi bedah siasat kali ini penulis akan memberi pandangan dari sudut Bunyi, Susunan Lagu, Lirik, dan Kualiti.
Dimulakan dengan sudut bunyi. Pada pendapat penulis, single terbaru AIPP ini membawakan bunyi yang amat berbeza dari single sebelum ini. Jika tiga single sebelum ini bunyinya kemas dan bersih, kali ini beliau telah membawakan bunyi yang agak kasar dan kotor. Namun bukanlah satu jenayah kerana bunyian yang disampaikan ini kena dengan tema lagu yang ditulis. Penulis menggemari tone gitar sebegini kerana tampak garang dan punk. Paluan drum dan bass juga memberikan impak yang sama par namun bunyian gitar lebih ke hadapan. Untuk vokal pula, walaupun penulis berpendapat Ali tidak sesuai untuk menyanyikan lagu sebegini namun boleh dikatakan beliau berani juga melontarkan vokal yang agak lain dan dapat memenuhi elemen lagu ini.
Yang kedua, kita ke sudut susunan lagu. Penulis menyifatkan single Kebangkitan Umat ini merupakan sebuah lagu yang agak straight forward. Dari awal minit lagu hingga ke akhir lagu semuanya disusun dengan baik. Cuma penulis mengharapkan ada satu bahagian breakdown yang boleh memberi lebih impak, namun tidak mengapa. Ini sudah memadai. Menurut Ali Idris, lagu ini merupakan lagu simpanan dari arkib beliau sebelum ini dan telah membuat keputusan untuk melancarkan single ini setelah krisis Israel-Palestin meletus kembali.
Seterusnya, dari sudut lirik. Jika dilihat lirik beliau dari awal hingga akhir, penulis mampu berkata Wow! Ini kerana single sebelum ini lirik-lirik yang disampaikan berpuitis dan berbunga-bunga gitu, kali ini boleh dikatakan penulisan Ali mampu pergi lebih jauh dengan pemilihan ayat yang lebih ‘besar’ dan sampai tepat ke jiwa. Menurut Ali, beliau tidak reti untuk berpuitis untuk lagu sebegini dan lebih suka direct serta menggunakan mood sebagai elemen utama untuk lagu ini.
Terakhir, dari sudut kualiti. Agak terkejut kerana beliau sebelum ini menggunakan khidmat SOG Production sebagai pilihan untuk merakamkan lagu. Kali ini beliau menggunakan khidmat Spunkdok @ Lotus HQ untuk produksi single Kebangkitan Umat. Tidak banyak yang ingin penulis komen kerana kualiti yang dipersembahkan boleh diterima umum. Namun begitu, apabila kita mendengar kembali single ini penulis berpendapat kualiti mereka agak rushing dari sudut adunan dan mastering. Menurut Ali, proses rakaman dilakukan selama seminggu dan ingin melaksanakan produk ini dengan cepat. Penulis faham apa yang beliau maksudkan namun penulis merasakan Ali harus memberi sedikit masa kepada mixing engineer untuk melakukan adunan dengan lebih baik dan mampu memberi kualiti yang mantap. Bercakap tentang Spunkdok @ Lotus HQ, mereka ini boleh pergi jauh kerana pengurusan produksi yang mereka lakukan sangat baik dan harga yang ditawarkan sangat berpatutan.
Konklusinya, Kebangkitan Umat merupakan single yang boleh memberi impak jika kualiti produksi diberi masa yang secukupnya untuk proses adunan dan mastering. Namun selebihnya, mantap sekali! Tahniah Ali Idris dan Para Penonton. Semoga AIPP dapat terus menghasilkan lagu yang bermutu dan kami doakan kejayaan kalian. Penulis diberitahu bahawa Ali Idris dan Para Penonton dalam fasa terakhir untuk menyiapkan EP pertama dan diharapkan segala urusan kalian dipermudahkan. Adios!!
Ikuti Ali Idris di: