Ini merupakan pemandangan biasa di konsert-konsert sekitar era 60an sehingga 90an. Penonton membawa radio untuk merakam persembahan artis/ band kegemaran mereka kemudian menjualnya dalam bentuk kaset dan piring hitam.
Rakaman dengan kualiti rendah ini dipanggil bootleg, dan ia tidak dikeluarkan secara rasmi oleh label dan hanya berlegar dalam kalangan peminat setia sahaja.
Antara artis popular yang sering dibootlegkan karya mereka adalah Bob Dylan, Pink Floyd, The Rolling Stones, The White Stripes, Led Zeppelin dan banyak lagi.

Pink Floyd – Remembrance of Things Past (1972) adalah salah satu contoh album bootleg.
Bootleg tidak semestinya rakaman amatur sebegini sahaja. Ia boleh jadi juga rakaman profesional dari soundboard, demo, b-sides dan sebagainya, cuma tidak dikeluarkan secara rasmi di bawah label artis tersebut. Ia berbeza dengan cetak rompak di mana ia cuma salinan daripada material rasmi artis tersebut.
Menariknya, terdapat ramai peminat bootleg di seluruh dunia kerana nilai estetikanya yang tersendiri dari segi seni reka grafik, betapa langkanya rakaman tersebut dan betapa sedikitnya ia di pasaran. Antara bootleg paling popular termasuklah:
- Bob Dylan and The Band: The Basement Tape (1967),
- The Velvet Underground: Live at the End of Cole Avenue (1969),
- The Troggs: The Troggs Tape (1970),
- The Grateful Dead: Old Renaissance Faire, Veneta, Oregon (1972),
- The Jimi Hendrix Experience: Live at Berkeley (1970),
- Buzzcocks: Time’s Up (1978),
- Television: Arrow (1978), Joy Division: Peel Sessions (1979)
Bonus:
Di Malaysia, anak-anak muzik era 90an dan awal 2000 sering membawa radio ke studio jamming untuk merakam sesi latihan masing-masing dan didengar semula beramai-ramai di pangkin rumah kampung.
Banyak juga band pada masa itu turut mengeluarkan material rakaman jamming ini ke dalam bentuk kaset dan diberi tajuk ‘Live Rehearsal.’
Kualiti bunyi? Sudah tentulah buruk dan mendap! Tetapi itulah nostalgia dan kenangan manis sebahagian besar daripada kita, betul tak?

Salah satu kaset bootleg tempatan yang amat terkenal dahulu. Kredit: Zam Possessed.
Rujukan: