Apa Yang Istimewa Dengan Album Solo Andy – ‘Tentang Aku’?

oleh Rahmat Mohd Did
3.3K bacaan

Setelah tiga dekad kita membesar dengan gemersik suara Andy bersama Flop Poppy, vokalis dengan karakter serak basah ini akhirnya mengumumkan album solo pertamanya, Tentang Aku yang secara rasmi menemui peminat dalam format cakera padat pada 26 Jun 2021.

Album yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan ini menjalani proses rakaman di Y8Studio dan diterbitkan oleh label Custones Production. Menurut Andy, kesemua lagu dalam album ini dipena sendiri olehnya dan hampir 85 peratus instrumen juga dimainkan olehnya. Antara pemuzik lain yang terlibat sebagai jemputan adalah Zachy Gruv Jehut sebagai pemain bass dan gitar dalam beberapa lagu, Syech Radzi Ali Mauladawila sebagai pemain Oud/ Gambus dalam trek Read The Book dan Y8 yang juga gitaris Kambing Gurun, Banteras, Gas Groovers dan E-Rod.

Apa yang menarik dan istimewanya tentang album ini? Pertama sekali, ia hanya diterbitkan secara terhad dalam format cakera padat sahaja, sekaligus menuntut peminat-peminatnya tidak kira yang lama atau baru untuk lebih menghargai format fizikal yang semakin dilupakan. Kedua, ia hadir dengan pakej boxset berserta tandatangan ekslusif Andy kepada yang membuat tempahan awal. Satu pertiga hasil keuntungan juga akan diinfaq kepada Baitu Dhuha Care. Wah, sambil berhibur sambil beramal, bro!

Bagaimana pula kualiti lapan buah lagu yang terkandung di dalamnya? Jika anda peminat Andy dan mengikuti beliau sejak dahulu, pasti tahu bahawa figura ini adalah seorang pemuzik yang sangat versatil dan kamus muziknya juga bukan calang-calang. Bermula dari era alternatif, kemudian meniti kemuncak di arus perdana, Andy kini kembali semula ke era Do It Yourself seperti di awal karier tetapi dengan nuansa muzik yang lebih matang, sofistikated dan berani melawan arus dengan ekperimentasi yang lebih gergasi berbanding sebelumnya. Revolusi sebegini sangat dialu-alukan lebih-lebih lagi bagi pemuzik yang telah menempa nama dalam industri dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pendengar kerana selain mendidik peminat untuk menerima perubahan, ia juga mencabar daya kreativiti pemuzik untuk keluar dari zon selesa.

Tone suara Andy masih tidak berubah, atau mungkin tidak keterlaluan jika penulis katakan lebih menyerlah dan ekspresif kali ini. Jarak 12 tahun sejak album terakhir bersama Flop Poppy – Rasa (2009) bukan sekejap. Pastinya banyak pengalaman baru yang dikutip dan dicurah ke dalam naskah ini.

Tanpa melengahkan masa, mari kita ‘selam’ kronologi trek demi trek dalam album Tentang Aku dan apa yang mahu disampaikan Andy.

1. Lukiskan Aku Hati

Trek pembuka yang sangat cemerlang. Rasa seperti dibawa ke terowong masa kembali ke era penghujung 70an dan awal 80an dengan warna-warni instrumen yang sangat groovy, mengangkat nuansa big band popular seperti Earth, Wind and Fire, KC and the Sunshine dan band-band tempatan seperti Black Dog Bone, Carefree dan Flybaits. Bass line tu memang merecik betul. Bahagian korus juga sangat anthemic dan catchy, sekali layan dah boleh singalong! Walaupun kedengaran retro, penulis percaya jika lagu ini dimainkan di corong-corong radio, nescaya ia akan kedengaran sangat segar dan mampu mempesona sesiapa sahaja!

2. Dan Ku Akui

Sebuah trek yang agak laidback, sesuai dengan tema lirikalnya tentang nostalgia dan penyesalan. Pengisian vokal Andy sangat tersusun dan curahan emosinya sampai di samping permainan instrumen yang mantap di semua bahagian. Lengkap dengan horn section dan gitar klasikal yang menikam kalbu.

3. Lain

Trek ini dari segi bunyi dan progresinya sangat 90an dan ‘alternative,’ membuatkan penulis terawang-awang melayan susunan soundscapenya yang sangat manis, walaupun dari segi liriknya mungkin agak sedih. Hehe.

4. Terus

Lagu pop rock dengan intro dan solo yang sangat melodik. Permainan keyboard/ organ di bahagian belakang ‘membalut’ lagu ini dengan sempurna. Formula lagu ini biasa kita dengar pada era 2000an tetapi Andy seperti biasa memberikan sentuhan magisnya yang membuatkan ia lebih lunak di telinga.

5. Read The Book

Pertama kali penulis dengar lagu ini, ingatkan lagu country sebab ada bunyi banjo. Sekali Andy kata itu bunyi gambus! Dengar kali kedua baru perasan. Menurutnya lagi, lagu ini bernuansa French folk music dan bila digabungkan dengan instrumen Timur Tengah, ia jadi sebuah fusion yang sangat menarik! Melalui lagu ini Andy berjaya memberi dimensi baharu dalam muziknya, selain mendidik pendengar untuk meluaskan skop pendengaran dan mengenal genre muzik yang jarang-jarang diteroka.

6. Aku Suami Mu

Sebuah trek balada yang pekat bunyian retro Jepun ala City pop yang menenangkan. Walaupun sederhana dari segi susunan lagu, pengisian instrumentasinya terasa penuh dan sangat dinamik.

7. Aku Tahu

Lagu yang mengundang persoalan kepada penulis pada mulanya kerana adunan suara Andy yang agak terkebelakang berbanding instrumen lain. Namun menurut Andy, ia adalah testamen bahawa beliau sentiasa mahu dipandang sebagai seorang pemuzik, bukan ‘artis.’ Penceritaan adalah keutamaannya dan lagu ini berjaya menangkap sentimen tersebut.

8. Sebelum Aku Tidur

Lagu yang sangat tepat untuk mengakhiri album ini. Tenang dan perlahan menuju penamat. Trek ini merupakan dedikasi Andy kepada anak-anaknya dan sekali lagi penulis terpukau dengan soundscape yang melatari kisah yang disampaikan. Sebuah lagu mungkin mudah ditulis, namun sebenarnya tidak mudah disusun. Pemuzik yang baik mampu menyusun lagu tiga kord dengan sangat epik dan meninggalkan impak berpanjangan berbanding pemuzik yang lebih teknikal tetapi hasil akhirnya biasa-biasa dan mendatar sahaja. Inilah apa yang penulis rasakan bila mendengar lagu terakhir dalam album Tentang Aku ini.

Kepada yang masih berminat untuk mendapatkan album ini, anda boleh beli melalui Custones Production, cuma versi selepas ini akan keluar dengan kotak putih, berbeza dengan versi pra-tempah yang berwarna hitam. Apa pun, mari kita sokong produk tempatan yang berkualiti seperti ini agar pemuzik-pemuzik kita terus maju di masa hadapan.

Tunggu juga bahagian kedua kami bersama Andy dalam bentuk temubual yang akan meneliti proses pembikinan album ini secara lebih dalam. Sampai jumpa!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅