Armpunk Sindicate – “Hidup Sober Sampai Mati!”

oleh Rahmat Mohd Did
3.4K bacaan

Kugiran punk dan aktivis belia, Armpunk Sindicate luncur single baharu dengan tema anti dadah!

Penulis pertama kali mengenali Armpunk Sindicate setelah menonton persembahan bertenaga mereka pada 31 Disember 2019 di Drug Free Underground Music Festival 2020. Waktu itu, julat umur band ini adalah dari 15 hingga 25 tahun tetapi apa yang menarik perhatian adalah mesej-mesej positif yang dibawa ke dalam lagu-lagu mereka serta ‘warna’ yang ada di dalamnya. Ada yang membawa imej punk, mat rock, mat metal dan thrasher. Ia sangat unik sekaligus memberi kepelbagaian dalam ‘sound’ yang mereka ketengahkan.

https://www.facebook.com/MusicAddictsMalaysia/posts/180100760056992

Single pertama mereka, Satu Bendera dilancarkan pada Februari 2019 dan menjadi band pertama dari Asia Tenggara yang ditampilkan di saluran Instagram “PunkersTV” yang turut mendapat perhatian Jack dari band The Casualties!


Setelah dua tahun tanpa material baharu, Armpunk Sindicate akhirnya muncul dengan single kedua, Dadah Durjana pada 9 April 2021 di saluran YouTube mereka. Menurut Paknoi (pengurus mereka), jarak antara kedua single ini agak jauh kerana mereka cuba mencari rumusan-rumusan baharu dalam karya berdasarkan maklum balas daripada orang ramai/ peminat yang telah menonton siri persembahan mereka di gig-gig yang mereka sertai.

“Segala maklumat yang diperolehi itu kami cuba satukan untuk menghasilkan sebuah karya yang boleh memberi manfaat kepada semua dari segi hiburan dan penceritaan lagu. Maka lahirlah satu asas untuk menghasilkan topik malar hijau iaitu penyalahgunaan dadah dalam single ini.”

Band yang tertubuh pada tahun 2018 ini memang sudah dikenali dalam skena sebagai entiti yang turut memperjuangkan nilai positif dalam kalangan remaja lebih-lebih lagi tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

“Hampir di semua gig, kita akan edarkan zine tentang bahaya dadah. Setakat ini kita telah keluarkan 10 edisi zine dan telah edarkan hampir 2,000 salinan. Dengan usaha yang berterusan ini maka pada 2019 kami telah dilantik menjadi “Ikon Drug Free Malaysia.”

“Maka selepas dari itu, gerakan kami banyak dibantu oleh beberapa NGO antaranya seperti Drug Free Malaysia & Pengasih. Malah kami turut diberikan geran dan kepercayaan oleh Yayasan Raja Muda Selangor untuk mengajar muzik kepada anak-anak asnaf di PPR terpilih melalui program “Muzik tanpa Dadah” selama 10 bulan. Dan melalui pengalaman, pemerhatian dan sedikit pengetahuan yang dikongsi bersama semua yang terlibat dalam usaha ini, maka semuanya kami kumpul dan jadikan sebagai inspirasi untuk menzahirkan sebuah karya dalam perjuangan ini. Maka lahirlah Dadah Durjana,” jelas Paknoi.

Armpunk Sindicate di Drug Free Underground Music Festival 2020.

Proses rakaman kali ini dilakukan di Bakri Music Workshop (BMW) di mana Bakri turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Pengalaman beliau bersama Gerhana Skacinta banyak membantu band ini mencapai sound ska punk yang diidamkan mereka selama ini. Hasil akhirnya juga agak baik dan mampu membuatkan sesiapa pun ber-danska mengikut irama yang disajikan.

Ditanya tentang harapan untuk single ini, Paknoi berkata beliau yakin sedikit sebanyak ia dapat membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi dari segi mental.

“Di kala manusia diserang virus Corona, pengerakan dan aktiviti menjadi semakin terbatas dan ramai di antara kita yang terpenjara di rumah akibat dari pandemik dan norma baharu yang semakin menjarakkan perhubungan sesama insan. Bila kesemua ini berlaku serentak, maka ramai antara kita yang mungkin terkesan dalam menangani tekanan semasa. Disebabkan itu kami rasa inilah waktu yang paling tepat untuk single ini dirilis. Kerana melalui pengalaman kami yang sedikit ini, tekanan perasaan adalah antara punca utama manusia terjebak dengan penyalahgunaan dadah,” ujar beliau.

Mengakhiri perbualan, Paknoi meninggalkan satu mesej positif kepada semua pendengar:

“Jika lagu ini hanya sekadar hiburan untuk anda, maka berhiburlah tapi jika anda merasakan lagu ini boleh menjadi asas kepada satu perjuangan maka sebarkanlah kisah cinta ini selayaknya dan ayuh kita berjuang bersama-sama ‘Kerana Dadah Durjana Perosak Bangsa Manusia!'”

Ikuti Armpunk Sindicate di:

Facebook

Instagram

Twitter

YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅