Blues dan rokok elektronik merupakan satu gandingan irama dan lirik yang agak luar daripada kebiasaan, namun The Nabil Nazmi Trio (TNNT) membuktikan ia mampu diterjemah menjadi satu naskah yang catchy dalam single terbaharu mereka, NCIG.
Kugiran dari Shah Alam yang dikepalai oleh pentegar muzik blues, Nabil Nazmi ini mengambil inspirasi daripada gitaris-gitaris blues dan rock terkenal seperti John Mayer, Jimi Hendrix, Stevie Ray Vaughn dan ramai lagi. Unit ini turut dianggotai oleh Danish Jifren di bahagian bass, Megat Yaesree di posisi gitar kedua dan Amirul Aiman sebagai pemain dram.
Melalui pengamatan penulis, NCIG membawa lebih nuansa funk berbanding blues. Ia sebuah lagu yang upbeat, moden dan kontemporari berbanding lagu-lagu yang pernah diterbitkan oleh TNNT sebelum ini, contohnya Demo tahun 2021 yang lebih pekat elemen blues rock. Ia adalah langkah bijak selaras dengan visi mereka untuk memperkenalkan jenisan muzik sebegini kepada golongan yang lebih muda di Malaysia.
Pengisian lirikal di sebalik NCIG juga tidak berat dan agak lari daripada keluh kesah blues standard. Menurut Nabil:
“NCIG adalah sebuah lagu yang menangkap makna cinta moden dengan memberi fokus kepada pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta sambil menikmati rokok elektronik berjenama NCIG.”
Tambahnya lagi, mereka tidak mendapat apa-apa tajaan daripada NCIG untuk rakaman lagu ini, tetapi berharap dengan terbitnya lagu ini, pintu kerjasama akan terbuka.
“Kami sebenarnya telahpun menghubungi NCIG untuk bekerjasama dengan mereka. Mungkin ada rezeki di kemudian hari.”
TNNT sebelum ini diberi peluang melakar nama dalam babak blues tempatan apabila ditawarkan sebagai band pembuka Festival Blues Valley Jam yang meraikan 48 tahun kewujudan band legenda tanah air, Blues Gang anjuran Tempatan Fest. Teruja dengan bakat mereka, Tok Ghani (Blues Gang) menawarkan diri untuk menjadi pemain keyboards jemputan untuk gig mereka seterusnya. Bukan senang nak dapat peluang sebegitu.
Mungkin sudah tiba masanya penganjur-penganjur tempatan memberi peluang kepada TNNT untuk beraksi di gig-gig mereka sekaligus melenyapkan dikotomi muzik blues hanya untuk orang tua?
Dengarkan NCIG di platform-platform strim digital tempatan dan ikuti TNNT di media sosial rasmi untuk mengetahui perkembangan terbaharu muzik mereka.