Bunuh Negativiti Bersama DC Willie!

oleh Rahmat Mohd Did
2.2K bacaan

Di saat kebanyakan aksi hip-hop bawah tanah tempatan masih mengulang formula sama yang kian basi, DC Willie muncul meledakkan tembok stereotaip hip hop Malaysia dengan penghasilan magnus opus yang maha kreatif dan bervariasi.

Wan Qhail Harrith memulakan kerjaya seninya pada 2017 dan dalam masa tiga tahun, idealis pasca milenial ini sudah membuktikan bahawa beliau merupakan kelibat berbahaya yang tidak harus dipandang sebelah mata.

Memilih Qhail sebagai judul album pertama, ia bukan sekadar himpunan lagu, tetapi sebuah retrospeksi gelap dari sudut paling dalam seorang remaja yang dibelenggu masalah mental dan kesepian yang mencengkam.

Jika kalian masih keliru tentang makna sebenar indie, DC Willie adalah testamen yang perlu dicontohi. Keseluruhan album yang mengandungi 17 trek (wow!) ini diproduksi secara solo dari bilik tidur beliau di bawah jenama MSTREVTs dan langsung tidak malu-malu untuk bereksperimentasi dengan pelbagai genre termasuk alternative hip hop, emo rap, trap, lo-fi sehinggalah ke indie pop!

Sukar untuk dijelaskan betapa uniknya album ini kerana setiap trek berdiri sendiri di dalam jagat raya yang sama. BIRU membawa pendengar terawang-awang dengan luahan melankolia DC Willie yang mahu sendiri sebelum beliau menunjukkan sisi romantik dalam Kawaii kemudian terjun ke dunia gelap dalam TAK KISAH.

Riot kemudian menjadi wadah DC Willie untuk melepaskan kemarahan kepada masyarakat dan golongan yang suka mengambil kesempatan dalam nuansa trap metal ala Scarlxrd sebelum teman sejati mengambil alih dengan nuansa pahit-derita diiringi gitar akustik. Sangat unik!

Setakat yang penulis kenali, stail emo DC Willie mungkin boleh dikaitkan dengan nama-nama seperti Yonnyboii dan Zynakal tetapi secara peribadi, penulis merasakan DC Willie jauh lebih kreatif dan mempunyai pakej yang cukup mantap untuk pergi lebih jauh, malahan ke pentas antarabangsa.

Penulis memilih Ratu sebagai trek kegemaran dan setia mengulangnya setiap hari sejak tarikh rasmi pelancaran album 20 November lepas. Trek meledak minda ini bernuansa indie pop ala Boy Pablo dengan lirik yang sangat sendu. Emo pop? Entahlah. Janji lagunya sedap!

 

Selain menghidangkan 17 lagu termasuk dua skit, DC Willie turut menjemput Nakalness dan Orang Malaya sebagai penyanyi jemputan dalam dua lagu, From Below dan Kain Songket.

Produk sebegini memang diakui bukan untuk semua orang, lebih-lebih lagi kepada peminat muzik yang masih terperangkap dengan nostalgia zaman batu dan sudah terbiasa dengan SOP industri, namun keberadaan DC Willie dalam scene tempatan adalah sangat penting dan jika beliau konsisten menghasilkan karya-karya kreatif dan bervariasi sebegini, tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal melihat anak muda ini menggegarkan pentas festival antarabangsa. Coachella, mungkin?

Muzik DC Willie punya jiwa, tunduk ke bumi, bukan sekadar hip hop syok sendiri yang sibuk berkelahi dan penuh braggadocio tanpa isi. Album Qhail membawa tema universal yang sesuai dengan kehidupan remaja masa kini. Seperti kata pemulanya dalam trek pertama, “The Instructions”:

“Before you listen to this album, PLEASE, open your mind, your heart, kill the negativity inside, and let the frequency heals you.”

Dengarkan album penuh ‘Qhail’ di:

Soundcloud

Tidal

Apple Music

Ikuti DC Willie di:

Facebook
Instagram
Twitter

YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅