The Strollers: Perwira Psikedelia Malaysia Yang Dilupakan

oleh Rahmat Mohd Did
3.9K bacaan

Bila bicara tentang kumpulan muzik berbilang bangsa di Malaysia, pasti kebanyakan kita akan terfikir tentang Blues Gang dan Alleycats atau di era letusan muzik independent, Pop Shuvit dan Love Me Butch.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa 15 tahun sebelum Blues Gang dan 35 tahun sebelum Pop Shuvit, kita sudah ada The Strollers. Maklumlah, pada era 60-an, Malaysia sedang dilanda fenomena Pop Yeh Yeh dan The Strollers pula boleh dianggap sebagai kumpulan yang melawan arus dengan membawakan kesemua lagu-lagu mereka dalam Bahasa Inggeris dengan stail muzik yang lebih berat.

Ditubuhkan pada tahun 1965, The Strollers diasaskan oleh Michael Magness (vocal, organ), Hassan Idris (gitar), Nand Kumar (conga, vocal), Billy Chang (bass) dan Ramli (drum) yang kemudiannya digantikan oleh Hussein Idris sering dikaitkan dengan satu lagi kumpulan dari Singapura iaitu The Quest yang sangat popular ketika itu.

Walaubagaimana pun, dari segi muzik, The Quest yang berkiblatkan kugiran-kugiran Surf Rock seperti The Ventures dan The Shadows (Boleh didengar melalui lagu popular mereka, Shanty) amat berbeza dengan The Strollers yang berkiblatkan genre Psychedelic Rock dan Progressive Rock seperti The Beatles (Era Sgt. Pepper), Blue Cheer, The Yardbirds, The Beach Boys, The Moody Blues, Jefferson Airplane, Deep Purple, Uriah Heep dan lain-lain.

Kumpulan ini hanya sempat merakamkan satu album iaitu “Waiting is…” pada tahun 1973 sebelum berpecah.

Lagu-lagu dalam album “Waiting is…”:

  1. You’re Gonna Make it
  2. Silly Jokes
  3. Bus Ride
  4. Children
  5. Fire
  6. Please Don’t Let Me Down
  7. You
  8. N.W.K.
  9. Maybe Tomorrow
  10. My Girl
  11. Medley: Do What You Gotta Do/ Just as I am

Kulit album “Waiting is…” (1973).

Memang tidak dinafikan sebelum The Strollers, sudah banyak album dan single psychedelic dihasilkan pada tahun 60-an oleh kumpulan-kumpulan seperti Kassim Selamat & The Swallows, Orkes Nirwana, Afida Es & The Siglap Boys, M. Osman & Les Fentones, A. Halim & De’ Fictions dan lain-lain, tetapi majoritinya dalam Bahasa Melayu dan berkonsepkan Psychedelic Pop.

Album “Waiting Is…” yang dirakam 100 peratus dalam Bahasa Inggeris pada 1973 adalah sangat berbeza dengan album-album di pasaran ketika itu. Manakan tidak, seawal lagu pertama ‘You’re Gonna Make It’ kita telah disajikan dengan komposisi progresif lengkap dengan ‘horn section,’ solo organ ala Jon Lord (Deep Purple), solo gitar mengancam, bass yang menari-nari dan alunan flute yang menggiurkan. Mungkin terinspirasi dari album “Shades of Deep Purple” yang keluar pada tahun 1968 sebelum itu.

Lagu ‘Silly Jokes’ pula berkonsep psych-pop dan sangat mesra radio. Ini adalah antara lagu yang sangat popular ketika itu kerana selalu diputarkan di corong-corong radio. Mood lagu ini sangat mengingatkan penulis kepada The Beach Boys era “Pet Sounds.”

Trek seterusnya iaitu ‘Bus Ride’ memang penulis kerat jari kalau anda tak terbayang ‘Hush’ dari Deep Purple dalam kepala.

‘Maybe Tomorrow’ lagu yang pekat pengaruh Uriah Heep dengan chorus yang mantap dan susunan lagu yang agak teknikal. Lagu ini sesuai dijadikan cover bagi band-band Malaysia yang berkonsep Neo-Psychedelic. Selain memang lagunya sedap, anda turut memperkenalkan semula The Strollers kepada anak-anak muda.

‘Fire’ pula agak berbeza dengan lagu-lagu lain kerana agak funky tetapi masih mengekalkan identiti The Strollers.

‘Please Don’t Let Me Down,’ ‘You,’ ‘N.W.K,’ dan ‘My Girl’ merupakan lagu-lagu psych-pop yang mesra radio. Jika The Strollers berpengkalan di British ketika itu, sudah tentu salah satu trek ini akan masuk carta ‘Top of the Pops.’

‘Children’ adalah lagu pilihan penulis untuk album ini. Komposisinya memang 100 peratus psychedelic tulen dan melayang-layang menyentap emosi. Vokal Nand Kumar (betulkan jika salah) sangatlah sedap dan kena dengan lagu ini. Bila mendengarnya, kita akan dibawa ke satu daerah puitis dan khayal padahal liriknya sangat positif tentang ‘sayangi anak anda.’ Haha! Tambahan pula dengan rakaman analog 70-an yang sangat organik, lagu ini mengingatkan penulis kepada ‘Nights in White Satin’ oleh The Moody Blues. Selain itu, Billy Chang turut bermain Glockenspiel dalam trek ini menambahkan lagi perasa psychedelic.

Akhir sekali adalah trek medley ‘Do What You Gotta Do’ (Cover Jimmy Webb) dan Just I Am di mana The Strollers ke daerah ‘full blown Prog-Rock’ untuk memberi penutup eksplosif kepada album lagenda ini.


Selepas berpecah pada tahun 1973, The Strollers dihidupkan kembali sebanyak dua kali oleh Billy Chang dan Hussein Idris dengan anggota baharu tetapi sekadar bermain di kelab-kelab malam sekitar Kuala Lumpur tanpa meriliskan apa-apa material.

Apa yang mengecewakan penulis adalah, nama The Strollers hanya kedengaran dalam kalangan peminat-peminat mereka di era tersebut sahaja atau jika anda seorang peminat muzik dan pengumpul piring hitam, LP The Strollers akan menjadi buruan dengan harga yang tinggi. Selain daripada itu, The Strollers tidak dikenali lebih-lebih lagi generasi muda zaman sekarang.

Walau apapun, “Waiting is…” adalah khazanah negara dan mungkin album Psychedelic terbaik yang pernah dihasilkan di rantau ini. Tiada lagi album Psychedelic Rock/ Progressive Rock dari Malaysia dengan lirik 100 peratus Bahasa Inggeris yang dihasilkan selepas itu, sehingga ke hari ini.


Label dari Perancis, Underground Masters yang merilis kembali album “Waiting is…” pada tahun 2006 menulis begini di kulit belakang CD:

“Amazing album from obscure band from Malaysia The Strollers, recorded in 1973. ‘Waiting Is’ remains as one of the best psychedelic albums ever recorded in Asia: superb musicanship, top sound & production and original songs sung in perfect english. It ranges from full-blown heavy psych with killer organ, guitar & flute to amazing UK late sixties styled pop-psych and some funkiest & proggy moments…”

Anda boleh mendengar album penuh The Strollers di:

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅