Sebuah single berjudul “Melarayu” dengan kolaborasi bersama Riko dari Sekumpulan Orang Gila dan merupakan single kedua untuk album akan datang. Dengan terpaparnya nama Riko dalam teaser, sudah pasti corak buah tangan kali ini mengandungi rangkap jerit-jerit.
“Melarayu” yang menggabungkan perkataan melara dan rayu ini mempertaruhkan nuansa Nu Metal dan Hardcore. Meleis yang melara dan merayu, lagu ini memang ditujukan buat anda!
Dengan intro ketikan key, paluan snare serta gasakan riff ala-ala Dream Theater, itu sahaja sudah menjanjikan sesuatu yang luar biasa dari Modread. Lagu yang langsung tidak mengecewakan ini ditulis sendiri seperti biasa oleh penulis utama mereka yang juga vokalis, Fami Ikhwan.
Berbeza dengan kehadiran Mie dan Iqbal dalam single sebelumnya, tiada elemen kejutan dalam kehadiran Riko kali ini. Riko menjadi Riko di dalam SOG. Tetapi magis kehadirannya sangat bermakna dan melengkapkan satu pakej dalam lagu tersebut. Jalinan dan perpaduan vokal Riko bersama Modread bagaikan satu kugiran dengan barisan yang sempurna. Transisi vokal Fami dan Riko sangat kemas. Energi scream, rap serta bahagian korus berjaya mencipta dinamik yang luar biasa. Membayangkan persembahan live dengan energi seperti ini, lebih merinding pastinya.
Ungkapan vokal disusun pula dengan lirik yang sarat dengan mesej. Gabungan aspek geografi, sejarah dan sasteranya meninggalkan mesej yang mapan. Ungkapan bahagian Fami ibarat memberi bunga-bunga nasihat dan diselang-selikan dengan bahagian Riko yang marah lepas.
“Scream dari Riko digambarkan seperti luahan perasaan sayu, merintih hiba dan marah dengan situasi zaman sekarang melihatkan anak bangsa yang semakin lemah. Dibandingkan dengan zaman Sulatus Salatin dan Tun Sri Lanang yang agung dan terbilang pada waktu itu.”
Pakej lagu ini dilengkapkan sekali dengan muzik video yang berkualiti. Menekankan isu air di dalamnya berjaya menghubungkaitkan dengan mesej “Melarayu” yang pada mulanya agak kabur jika tidak divisualkan.
Melihat maklumbalas positif pada MV tersebut, dua perkara yang patut Modread tunaikan ialah; persembahan live Modread bersama Riko dan juga album baharu. Syabas!