Inilah kali pertama penulis menerima sebuah dakwah dalam nashkah yang tidak disangka-sangka. Setelah sembilan bulan menanti, terlancar juga rilisan terbaharu dari band death metal Johor ini.
Kewujudan Purbawara tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mereka telah menghasilkan sebuah album iaitu Aphorism (2018) dan keberadaan Ziddy sebagai vokalis idola ramai dengan identiti ‘growl’ yang seram membuatkan mereka berada di kelas tersendiri. Sekali dengar pasti naik sheikh!
Menerusi single kedua untuk album akan datang berjudul ‘Servants Of Alamin’ ini, banyak elemen yang penulis boleh rungkaikan dari sudut sound, susunan, lirik dan kualiti.
Dari sudut bunyi, penulis tidak menafikan ‘guitar work’ dan ‘bass riff’ sememangnya kemas, berat dan ketat. Namun penulis lebih menggemari ketukan drum kerana agak berbeza berbanding single mereka sebelum ini iaitu ‘World of Nifaq.’ Persoalan penulis ketika ini ialah bila kali terakhir penulis mendengar ketukan amarah sebegini? Sebelum ini penulis banyak melihat Emy Syahmi (Massacre Conspiracy) dan Senndart (Daarchlea). Kali ini penulis boleh katakan Malaysia mempunyai drummer lain yang melepasi KPI yang dibawa oleh dua drummer yang penulis nyatakan sebelum ini. Syabas buat drummer mereka iaitu Yusuf kerana mampu memberi impak sebegini. Untuk ‘guitar solo’, macam taranum. Itu sahaja yang mampu penulis ulaskan.
Dari segi susunan lagu, mereka telah memberi satu ‘ombak baharu’ dalam industi death metal di Malaysia. Apa yang boleh penulis katakan sesudah mendengar lagu ini adalah ia digarap dengan sangat kemas dan ‘straight forward’ tetapi kurang dinamik, tidak seperti single mereka sebelum ini.
‘World of Nifaq’ vs ‘Servants of Alamin’. Mana satu pujaan kalian? Pendapat penulis, kedua-dua lagu ini memberi impak yang tersendiri namun penulis lebih kepada ‘Servants of Alamin’ kerana ia lebih tajam dan tepat ke sasaran, tambah lagi jika kita turut mengambil kira faktor lirik sebagai pemboleh ubah.
Seterusnya, kita amati pula lirik yang disampaikan oleh mereka. Penulis telah diingatkan untuk mendengar secara tutup mata dahulu baru dengar untuk kali kedua bersama lirik. Bila mendengar ketika tutup mata, penulis rasa seram. Bila mendengar untuk kali kedua sambil membaca lirik, LAGI SERAM!!!
Penulis tersentak dengan bait-bait lirik yang disampaikan mereka. Dalam bedah siasat, penulis mendapat bayangan yang mereka sedang mengajak penulis untuk solat dan ketika membaca lirik yang berkata ‘Shall bear witness to all ninety-nine names/ Words of syukur five times a day/ A mu’jizah that leads to Jannah,’ penulis memberi kata putus yang Purbawara telah berjaya menyedarkan penulis tentang pentingnya hubungan dengan Maha Esa. Penulis mendapati Ziddy agak ‘struggle’ dalam penulisan lirik kali ini kerana ia ternyata lebih mendalam. Walaupun ‘straight forward,’ tapi makan dalam. Kudos kepada beliau kerana mampu menghasilkan lirik ‘seenak’ ini. Jarang penulis jumpa lirik sebegini kerana kita terlalu didedahkan dengan lirik-lirik bombastik namun tiada isi.
Dari sudut kualiti, memang lebih daripada apa yang penulis harapkan. Menerusi ‘teaser’ mereka sahaja penulis telah tertarik. Bila dengar lagu penuh, kebaboom!!! Sangat berpuas hati dan sejujurnya penulis tidak sabar untuk menanti album kedua mereka, Withering. Katanya tahun depan. Marilah kita mendoakan agar pandemik ini berakhir lebih cepat sekaligus menyaksikan band-band di Malaysia mampu bernafas lebih selesa seperti dahulu.
Akhir kata, tahniah dan syabas buat Purbawara atas pelancaran single ini. Semoga terus maju dan paling penting, jangan berhenti separuh jalan.
Penulis kongsikan sedikit trivia dari Ziddy tentang single ‘Servants of Alamin’:
“Jika lagu Suicide Silence – Unanswered itu sedang mencari Tuhan, Purbawara – Servants of Alamin telah menunjukkan di mana Tuhan berada. Tak percaya? Dengar dan amati kedua-dua lagu ini.”
Sila ke YouTube Purbawara Official dan klik pada butang ‘set reminder’ agar kalian tidak terlepas magnum opus ini malam esok!
Ikuti Purbawara di:
Facebook
Instagram
Twitter
Bandcamp
Spotify