‘Cops Underwater’ – Visi Momin and the Deen’s List Untuk Pergi Lebih Jauh

oleh Muhammad Ridhwan Bin Sa'aya
1.1K bacaan

Momin Deen yang dahulunya bergerak solo kini mengubah haluan karier dengan menubuhkan sebuah kugiran, Momin and the Deen’s List yang bagi penulis boleh dianggap sebagai supergrup juga kerana dibarisi watak-watak yang sudah agak lama berkecimpung dalam industri muzik tanah air bersama band-band lain.

Single pertama formasi ini yang berjudul Cops Underwater merupakan komposisi bersama beliau bersama bekas pemain dram kumpulan Seven Collar T-Shirt, Mokhtar Rizal.

 

Gabungan Momin and the Deen’s List terdiri daripada Momin Deen (ketua vokal, lirik, rhythm gitar), Jay Ridzwan (gitar utama, rhythm gitar), Jes Ebrahim (percussions , ketua back-up vokal), Felicia Chan (piano), Tim Achariam (dram) dan Syakir Khalid (bass). Rock alternatif dengan getaran 60an adalah jenama kumpulan ini dan mereka berjanji untuk menyajikan para peminat dengan muzik yang lebih segar dan baharu dalam setiap karya mereka akan datang.

Momin Deen berkata, “Lagu Cops Underwater ini adalah salah satu lagu yang pernah saya keluarkan pada suatu masa dahulu tetapi kini dimoden dan dinyanyikan dengan lebih feel. Lagu ini adalah sebagai luncuran pertama dan pengenalan kumpulan Momin and the Deen’s List untuk EP kami berjudul Take Two.”

Momin Deen

Menurut Mokhtar Rizal pula, “Gabungan kerjasama Momin Deen dan kumpulan the Deen’s List adalah gabungan artis yang luar daripada lingkungan kebiasaan. Mereka mempunyai chemistry yang kuat dalam meraikan suara untuk menghasilkan kepelbagaian dalam lapangan muzik sambil cuba untuk mendapatkan perspektif muzik yang berlainan.”

Jika hanya membaca tajuk lagunya, pasti ramai yang mengganggap lagu ini tentang polis kerana perkataan cops digunakan. Sebenarnya ia hanyalah lagu santai dan ringan berkisarkan cerita cinta yang sangat tersirat. Jika difahami liriknya secara mendalam, cops itu adalah seseorang yang masih mengharapkan cintanya dibalas dan tetap terus memantau kekasih hatinya walaupun kekasihnya itu sudah mempunyai kisah cinta lain. Fuh, seram juga. Mengingatkan penulis kepada lagu The Police – Every Breath You Take.

Momin Deen menambah, “Inspirasi untuk mencipta dan memberi nafas baharu dalam lagu ini adalah sebuah cabaran dari rakan-rakan saya. Mereka sering menyuruh saya terus cuba membuat buat lagu bergenre R&B. Jadi, saya gunakan lagu ini sebagai eksperimentasi dalam melihat sejauh mana penerimaan peminat kepada kami semua sebagai satu gabungan.”

Proses olahan dan rakaman semula lagu yang mengambil masa enam bulan tersebut telah dilakukan sepenuhnya di iSeekMusic Studio yang terletak di Kota Damansara. Untuk lagu Cops Underwater dan lagu-lagu lain dalam EP ini, mereka telah mengeluarkan semua fail muzik dalam rekod mereka bersama. Dengan itu mereka turut mengharapkan ia dapat membantu dan mendorong lebih ramai penerbit muda untuk lebih berani bereksperimentasi dengan muzik ciptaan sendiri.

“Saya mempunyai mimpi besar dan banyak perkara yang saya hendak capai dalam mahu menghasilkan muzik berkualiti buat peminat. Jujur saya katakan, impian saya dalam menghasilkan muzik adalah dengan mahu mencabar diri mencipta evolusi muzik yang luar dari tahap kemampuan biasa saya. Dalam menyiapkan satu lagu, saya akan cuba berfikir cara untuk menjadikan lagu tersebut unik dan mampu menarik peminat mendengar dengan sahaja – Momin Deen

Menurut mereka sebagai satu gabungan, evolusi dalam muzik adalah perkara penting untuk memastikan band tersebut kekal relevan dan tidak mengulangi perkara yang sama. Untuk perancangan di masa hadapan, gabungan Momin and the Deen’s List berharap agar ada rezeki dan peluang buat mereka untuk membuat persembahan sebanyak mungkin tahun ini, dan jika pintu rezeki terbuka lebih luas, mungkin mereka akan mengadakan siri jelajah ke luar negara membawa panji-panji muzik yang mereka perjuangkan.

Single Cops Underwater boleh dinikmati di pelantar penstriman digital Spotify dan YouTube bermula pada 18 Mac 2022. Pendengar juga boleh membuat pra-simpan dengan pergi terus ke pautan berikut: https://linktr.ee/momindeen

Ikuti mereka di:

Instagram 

YouTube

Soundcloud

Spotify

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅