Trio pop alternatif Margosa kembali menemui peminat dengan single dan video lirik terbaru mereka, Cinta Pasti Bersatu. Kolaborasi dengan Aepul Roza ini telah dilancarkan pada 4 Februari 2022 dengan jangka masa selama 4 minit 19 saat di saluran YouTube rasmi MargosaVEVO.
Margosa yang pernah menggemparkan industri muzik independen ketika merangkul gelaran juara Anugerah Lagu Indie 2020 dengan lagu Penawar ternyata tidak menghampakan peminat dengan naskah pertama mereka di bawah label Sony Music Entertainment ini yang memberikan nuansa merinding dan memukau para pendengar dengan paduan suara Resya dan Aepul. Sentuhan komposisi Raja Nazrin Shah pula seperti biasa, tak pernah tak epik.
Cinta Pasti Bersatu berkisar tentang perasaan rindu yang wujud di antara dua individu dalam sebuah perhubungan jarak jauh. Tatkala diri bersendirian merindukan sang kekasih hati, malam hari pasti sentiasa hadir menemani diri memadamkan perasaan kelam yang wujud di dalam diri.
Kebanyakan dari kita sudah semestinya pernah melalui pengalaman dalam perhubungan jarak jauh, rindu yang membara mengenangkan orang yang jauh dari diri. Mengharapkan kegelapan malam dan cahaya sinar sang bulan membawa pergi kerinduan yang bersarang di dalam hati.
Dengarkan Cinta Pasti Bersatu di saluran Youtube dan Spotify rasmi Margosa, dan ikuti saluran media sosial rasmi mereka di Facebook, Twitter dan Instagram untuk informasi terkini.