Entropy: Mahakarya Brandon Gomez

oleh Aniq Ammar Ekhwan
2.4K bacaan

Merindui Metalcore? Anda wajib dengarkan karya Brandon Gomez yang baru sahaja melancarkan EP berjudul Entropy di Spotify dan juga video muzik (MV) untuk single Entropy di YouTube pada 21 November 2021 yang lalu.

Brandon Gomez merupakan seorang penulis lirik dan komposer. Dalam masa sama beliau juga merupakan pemain gitar dan vokalis untuk band Metalcore, Massacre Conspiracy. EP yang mengambil masa dua tahun untuk diterbitkan ini menjalani proses rakaman secara DIY di mana beliau merekodkan kesemua trek secara kendiri, kemudian mendapat sentuhan Nash Muhandes untuk proses adunan dan mastering. Apa yang menariknya tentang EP Entropy adalah beliau telah melalui eksperimen di setiap inci lagu dan menjadikan sains sebagai rujukan utama. Selain itu, penulis difahamkan EP ini telah disuntik dengan DNA daripada Tremonti, Killswitch Engage dan Gojira.

Tanpa melengahkan masa, mari kita selam setiap trek dalam EP Entropy dan mendalami mesej yang ingin disampaikan oleh Brandon Gomez.

  1. Entropy

Trek pembuka yang lain daripada yang lain. Terasa seperti penulis dibawa ke angkasa menaiki roket. Setiap instrumen dipersembahkan secara kemas dan berketerampilan. Tidak terhenti di situ, permainan gitar Brandon dan melodi solo memang ggwp. Menurut Brandon, single ini mengisahkan tentang walaupun dunia sedang pesat membangun teknologinya, ia akan musnah di akhirnya. Dan penulis dapat merasakan mesej yang ingin dibawakan sepanjang lagu itu berlangsung. Walaupun kedengaran di zaman 2000, penulis merasakan trek ini segar ibarat buah mangga yang dipetik dari pokoknya. Keseluruhannya, trek ini merupakan pembuka kata yang cemerlang. Erti kata lain, Metalcore is back!!!

  1. Limitless

Dengar tajuk lagu sahaja sudah kedengaran progresif. Menjadikan drum sebagai hidangan utama pada lagu ini, Limitless memberikan sentuhan baharu buat muzik metalcore. Dengan solo yang tidak melebihi batas dan paluan bass yang cantik, Limitless boleh dikategorikan sebagai barang jadi dan penulis sempat melakukan headbanging sepanjang lagu ini berjalan.

  1. Infernal Vortex

Sungguh sains lagu ini. Kenapa? Kerana ia memberikan penulis satu bayangan perjalanan dunia di mana segala galaksi akan pergi kepada blackhole. Permainan gitar dan drums kali ini sedikit rancak dan bukan tipikal metalcore yang sering kita dengar. Sentuhan magis Brandon juga memberi impak yang besar terhadap lagu ini. Memang goosebumps teruk lagu ni sampai rasa ingin membuat circle pit.

  1. Dark Hours

Agak menakutkan di awal lagu ketika bunyi clean gitar dimainkan. Namun tidak mematahkan semangat penulis untuk terus mendengar sehingga kesemua instrumen hadir memberi sentuhan dalam lagu ini. Kuat betul penangan Tremonti dan Killswitch Engage. Menurut Brandon, Dark Hours ditulis ketika beliau keserabutan hidup dan hasilnya lagu ini telah meluruskan perjalanan yang tak tentu arah.

  1. Good Omens

Selepas semuanya ganas, muncul pula Good Omens untuk meredakan keadaan. Untuk trek ini juga Brandon mendapat bantuan dari John Lau untuk penggunaan gitar akustik. Kedengaran tenang dan walaupun tiada vokal, penulis sempat bersiul seperti lagu ini ada vokal. Dan gitar akustik ni memang jahat. Terima kasih John Lau membantu!


Secara keseluruhannya, EP ini merupakan permulaan perjalanan yang baik dari Brandon Gomez, bukan sahaja dari segi produksi malah dari sudut menonjolkan diri beliau sebagai seorang multi-instrumentalist di Malaysia. Selepas kehadiran Aeo Nik, penulis tidak dapat menjumpai gitaris generasi baharu yang melakukan projek solo dan mengeluarkan EP di Malaysia sehingga Brandon Gomez muncul. Entropy merupakan EP yang cemerlang bukan sahaja pada susunan lagu malah Brandon Gomez pandai bermain dengan dinamik untuk setiap lagu yang. Terima kasih Brandon kerana mengeluarkan EP ini. Tahniah juga kepada Nash Muhandes atas usaha anda. Semoga EP ini mampu memberi impak yang seharusnya buat semua pendengar di Malaysia mahupun di luar Malaysia.

Buat masa ini, Brandon Gomez sedang giat berusaha untuk melakukan kolaborasi dengan artis dari luar negara dan tidak dapat diberitahu lagi dengan lebih lanjut tentang projek tersebut namun beliau menjanjikan sebuah lagu yang bagus di masa hadapan. Jumpa lagi di masa akan datang. Adios

Ikuti Brandon Gomez di:

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅