Alena Murang, Estranged dan Stonebay akan melancarkan album mereka yang memaparkan warisan muzik Sabah dan Sarawak di dalam dokumentari bersiri bertemakan muzik terbitan Estranged Sdn Bhd.
Pandemik yang melanda, ditambah lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak berkesudahan memberi kesan kepada penggiat-penggiat seni negara.
Industri muzik merupakan antara bidang yang amat terkesan dengan kekangan ini dengan kutipan pendapatan dari persembahan secara langsung mengalami penurunan yang ketara. Oleh yang demikian, para artis serta penggiat seni perlu sentiasa mencari kaedah kreatif untuk memastikan pembikinan dan persembahan muzik masih dapat dilakukan dan keberadaan mereka kekal relevan.
Bagi tiga band tempatan yang berasal dari Sabah dan Sarawak, peluang ini bertentangan dengan kebiasaan peranan seorang ahli muzik dalam mempromosi seni mereka namun memberikan satu ruang untuk menyampaikan mesej harapan kepada komuniti dan pada masa yang sama turut menyumbang kepada perlindungan warisan muzik masyarakat pribumi. Dengan semangat inilah Estranged dan Stonebay bersama dengan Alena Murang mengambil keputusan untuk berkolaborasi di dalam satu projek muzik yang dinamakan Roads To Our Heritage (RTOH) – mengandungi tiga (3) album dan satu (1) projek dokumentari bersiri yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di bawah pembiayaan Dana Kandungan Digital (DKD) bagi industri muzik.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah:
“DKD disasarkan untuk memberi sokongan serta peluang untuk industri kreatif dan menjana semula ekonomi kreatif yang telah terkesan oleh pandemik COVID-19. Pada masa yang sama, mempercepatkan usaha digitalisasi di dalam semua aspek termasuk media, kesenian serta penciptaan kandungan juga akan membuka peluang penerimaan serta mendapatkan manfaat dari inovasi dan teknologi baharu dan pemikiran di luar kotak.”
“Kerajaan memahami betapa pentingnya keperluan untuk memulihara warisan kebudayaan sambil mengguna pakai kaedah baharu serta inovasi di dalam penciptaan kandungan, maka melalui dokumentari muzik “Roads To Our Heritage” (RTOH) oleh Estranged Sdn Bhd diharapkan akan dapat menjadi satu penanda aras yang diletakkan oleh para pemuzik itu sendiri kepada industri kreatif sebagai salah satu cara bagi memulihara warisan untuk generasi masa hadapan sambil menyesuaikan diri dengan inovasi baharu dan teknologi di dalam produksi mereka.”
Projek ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi termasuk Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai Rakan Strategik. Izlyn Ramli, Naib Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan, TM berkata,
“Ia sangatlah menarik apabila melihat artis-artis tempatan kita berganding bahu dalam memelihara warisan budaya kita dan memainkan peranan mereka semasa keadaan yang sangat mencabar ini. TM, sebagai sebuah organisasi korporat yang bertanggungjawab, komited dengan peranan kami dalam membangunkan negara dan memperkasakan rakyat Malaysia, termasuklah mengekalkan budaya dan warisan tempatan.”
Roads To Our Heritage (RTOH) akan diterbitkan sebagai dokumentari bersiri yang akan ditayangkan di Radio TV Malaysia (RTM). Ia akan merakamkan perjalanan yang dilalui oleh Alena Murang, Estranged dan Stonebay dengan motorsikal berjenama Triumph dan sebuah kereta, bermula di Kota Kinabalu, Sabah sementara bahagian kedua perjalanan akan bermula di Kuching, Sarawak. Siri ini dengan tempoh produksi yang akan berlangsung selama empat belas (14) hari meliputi perjalanan lebih dari 1000km, akan memaparkan temuramah secara lebih dekat dengan pembuat seni alat muzik tradisional di Sabah dan Sarawak, mendekati budaya dan akar umbi tradisional tempatan, juga mempamerkan keindahan suasana perjalanan yang diwarnai dengan muzik oleh tiga (3) band tersebut. Penggambaran dijadualkan bermula awal tahun 2021.
Untuk info dan perkembangan terkini Roads To Our Heritage (RTOH) ikuti laman media sosial mereka di platform berikut: ‘
#roadstoourheritage #rtoh