
Kredit: Bangsawan Pictures
Oleh: Ayu Nadirah
Konsert Mayapada Ungu Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Megastar Arena pada 25 Februari yang lalu menyaksikan kumpulan Indonesia ini mempersembahkan 30 lagu dengan penuh tenaga. Jika tahun lalu lokasi konsert Ungu di Kuala Lumpur mungkin tidak begitu memuaskan hati peminat, kali ini mereka kembali dengan ruang konsert yang lebih strategik dan persembahan lebih memukau.
Gema suara merdu Pasha, ditambah dengan sambutan nyanyian penonton betul-betul bikin meremang bulu roma! Konsert anjuran Icon Entertainment ini bijak dalam menyusun lagu-lagu hits Ungu yang sentiasa bertakhta di hati peminat. Antara lagu yang mereka bawakan pada malam berkenaan adalah Percaya Padaku, Sejauh Mungkin, Dilema Cinta, Luka Disini, Kekasih Gelapku, Cinta Dalam Hati, Demi Waktu dan banyak lagi. Selain itu, tidak lengkap persembahan Ungu tanpa suntikan lagu berunsur ketuhanan. Sedap sungguh suara Pasha dalam mendendangkan lagu Bila Tiba dan Andai Ku Tahu. Lagu-lagu dengan lirik menusuk perasaan berjaya membuai hati penonton yang hadir.

Kredit: Bangsawan Pictures
Kelunakan suara vokalis tersohor Ungu ini memang tidak pernah mengecewakan. Bait-bait kata dalam lagu cinta disampaikan dengan penuh jiwa sehingga penonton tidak sedar masa sudah berganjak ke lewat malam. Selain lagu cinta berentak perlahan, lagu bergenre dangdut seperti Mati Lampu juga antara yang paling ditunggu-tunggu peminat pada malam tersebut. Semua peminat terlihat puas hati dapat mendengar lagu ini dinyanyikan secara langsung di hadapan mereka.

Kredit: Bangsawan Pictures
Konsert ini juga boleh dikatakan antara konsert yang paling berbaloi untuk dihadiri. Paduan tempat serta harmoni penghibur dan peminat membuahkan momen yang sangat mengujakan. Harapnya tahun hadapan, Ungu dapat hadir lagi dengan konsert berskala besar di Kuala Lumpur.