Penulis: Wan Ahmad Syakir
Atas Angin Festival 2023 yang berlangsung pada 5 Ogos lepas telah melabuhkan tirainya dengan pelbagai rencam dan ragam. Festival yang diadakan di Rooftop MyTOWN Shopping Centre ini buat julung kalinya berjaya menghimpunkan 75 performers dibahagikan kepada empat pentas dan berlangsung seawal 9 pagi hingga lewat malam.
Paling mencuri perhatian pastinya kemeriahan di Burn Tau Stage. Stage ini digelar stage paling galau untuk peminat muzik keras dan havoc. Walaupun keluasan stage ini dilihat sedikit kecil berbanding stage yang lain, tapi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat peminat-peminat muzik keras yang hadir. Terdapat kira-kira 20 performers berkongsi bersama stage keramat ini. Namun, terdapat sebuah band yang menarik untuk dihighlightkan untuk edisi kali ini di stage tersebut. Mereka adalah, HACKTICK!
HACKTICK!, band pop-punk yang berasal dari Klang, Selangor ini ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 ketika masih di bangku sekolah lagi. Diketuai oleh Hyke Nasir yang memegang peranan sebagai vokalis, pemain gitar dan penulis lirik utama kumpulan ini, detik turning point mereka di dalam scene bermula dengan kejayaan EP Dog Day Diaries: A Self Help Book yang dilancarkan pada tahun 2018. Kemampuan dan keindahan karya anak-anak muda ini telah dibuktikan apabila mereka berjaya memenangi Anugerah Jeremy pada Tapau Awards 2019. Satu penghormatan juga buat mereka apabila trofi itu disampaikan oleh Ham Abdullah, gitaris kumpulan Seven Collar T-Shirt.
Pada festival tersebut, HACKTICK! telah mendendangkan lagu Berhenti Melayu sebagai lagu pembukaan. Alunan intronya yang mengetengahkan elemen muzik melayu tradisional seolah-oleh memberi signal kepada peminatnya untuk memulakan sesi pemanasan badan. Hyke turut menjemput seluruh warga Wilayah Tong Sampah untuk naik ke pentas bermain di playground bersama-sama mereka. Jangan risau, HACKTICK! tak marah peminatnya naik pentas.
“Kembanglah wahai sang-sang minda,
Nak hidup begini sampai bila?
Bumi yang dipijak Tuhan yang punya,
Diberi, dikasi untuk semua.
Bersama bukan kita sahaja,
Hancur-hancur segala,
Kau agungkan rasa benci,
Berhenti Tuhankan diri.”
Semangat pahlawan menentang bangsa sendiri yang durjana dan bongkak ini terus sahaja meresap sebaik sahaja bait-bait lirik ini dialunkan. Seluruh warga Wilayah Tong Sampah diserang asyik menikmati muzik kegemaran mereka dengan pelbagai gaya tersendiri. Sebut sahaja, climb, two-step, dive, crowdsurf dan downfall semuanya anda dapat nikmati di pentas HACKTICK! ini. Begitulah cara peminat mereka mengekspresikan jiwa menikmati muzik HACKTICK! Warga Wilayah Tong Sampah ini saling bergembira, hormat-menghormati dan melindungi antara satu sama lain.
Tidak sempat berehat membetulkan urat pinggang, Hyke dan rakan-rakan terus menerus membakar jiwa dan emosi peminat mereka dengan memainkan lagu-lagu hits yang terdapat dalam setlist mereka kali ini seperti Jangan Risau, Mujikalau Kita Kata Ke Depa, Bukan Depa Nak Mau Dengar dan Wilayah Tong Sampah. Walaupun rundown mereka kali ini clash dengan kumpulan hebat lain di stage berbeza seperti Skudap Skudip dan Nastia, itu bukan penghalang kepada peminat setia HACKTICK! untuk kekal setia dan tidak berganjak dari stage tersebut sehingga selesai. Power!
Pada edisi lepas festival ini, HACKTICK! mendapat rundown pada sebelah pagi dan berjaya mengajak peminatnya senamrobik dan poco-poco. Edisi kali ini pula, mereka berjaya mencuri slot pada sebelah malam sebaris dengan artis alternatif lain yang memiliki nama besar dalam scene seperti Restraint, Lost Control dan Massacre Conspiracy. Satu perkembangan positif untuk band HACKTICK! yang turut meminati pop punk band seperti the Wonder Years, the Story So Far dan Neck Deep yang sering dijadikan rujukan untuk berkarya. Tidak mustahil, edisi akan datang HACKTICK! mampu bergelar Most Valuable Player (MVP) untuk festival tersebut. Kerat jarilah der, HACKTICK! pasti MVP!
Kepada semua yang baru mengenali HACKTICK!, diucapkan selamat datang dan selamat menyelam dengan lebih dalam. Karya-karyanya yang dekat dengan jiwa remaja berdarah muda ini pastinya akan memberikan motivasi dan inspirasi kepada anda dalam menempuh kehidupan yang penuh liku.
Bagi mereka yang merasa tidak puas dengan persembahan HACKTICK! tempoh hari pula, anda semua dijemput untuk acara manis-manis sempena pelancaran EP baru mereka pada Hari Malaysia akan datang, tanggal 16 September bertempat di Tanjong Bintang. Untuk urusan tiket, boleh layari laman sesawang www.tapautix.asia. Selamat maju jaya, HACKTICK!