Akhir-akhir ini, penulis ada meluangkan masa mendengar lagu daripada beberapa kugiran baharu. Manalah tahu dapat jumpa permata tersembunyi di Malaysia. Dan selepas beberapa ketika, penulis terjumpa sebuah kugiran yang diberi nama GEO yang baru sahaja mengeluarkan single Hadir di semua platform digital pada 27 Mei 2023.
GEO dianggotai oleh empat anak muda berjiwa besar iaitu Rell (Vokal), Kili (Gitar), Paan (Bass), dan Alan (Dram). Agak mengejutkan penulis kerana kali terakhir penulis mendengar tentang mereka adalah pada 10 tahun yang lalu di mana mereka menyertai BOTB Rock The World dan bersaing dengan Sekumpulan Orang Gila ketika itu. Selepas itu kali terakhir mereka memunculkan diri ialah pada 2015 dan terus senyap seketika sampailah kembali dengan single ini. Menjadikan pop rock sebagai genre utama, GEO dipengaruhi oleh muzik-muzik daripada kugiran Coldplay, Kodaline, Nidji, Noah dan The Script.
Kalau ikutkan pengalaman yang kami ada perjalanan muzik ni sebenarnya tak mudah. Apa yang kami belajar selama kami dalam industri muzik ni yang pertama kalau nak main muzik perlu ada minat yang sangat kuat dalam muzik, Dan kalau band sendiri, perlu masing masing ada minat yang sama dalam genre atau konsep yang band tu nak bawa. Selain itu, main muzik ni kena kuat, kena cekal. Hahaha. Sebab perjalanan tak indah seperti yang dirancang. Dari segi mental, kewangan. Sebab bergerak secara indie memerlukan usaha sendiri untuk bergerak. Itulah yang kami belajar dan insyallah utk kali ni kami akan buat persediaan lebih baik dari sebelum ini.
Single pertama mereka, Hadir menceritakan tentang perjalanan muzik GEO yang sudah lama terhenti dan kini mereka bangkit untuk menghasilkan karya-karya yang segar untuk muzik tanah air. Secara am, lagu ini juga tentang semangat dan usaha para pendengar untuk terus maju ke hadapan.
“Untuk single Hadir’ kami memang cuba untuk memberi satu kelainan dan bunyi yang fresh untuk muzik tanah air.”
Menurut mereka, single ini direkodkan di tiga tempat berbeza iaitu Studio 21:05 untuk rakaman dram, Studio Artus untuk produksi lain dan Archive Capital untuk rakaman vokal serta adunan dan mastering dilaksanakan oleh Ucop Classmates. Hal ini kerana mereka ingin mencuba sesuatu yang baharu dan ingin menghadiahkan sesuatu yang segar buat para pendengar.
Ketika penulis mendengar single ini, penulis dapat merasakan elemen yang tersendiri daripada kugiran GEO. Dimulakan dengan susunan lagu, penulis menggemari apa yang GEO cuba tampilkan iaitu simplicity kerana ini yang Malaysia perlukan sebenarnya buat masa ini. Kadang-kadang tak semua lagu pop perlu teknikal dan tak semua lagu pop perlu menggunakan chords yang sedikit namun untuk GEO, boleh dikatakan sudah mencukupi. Permainan instrumen tampak tiada masalah di mana-mana bahagian cuma mengingatkan penulis kepada kugiran Nastia. Persoalannya di sini, adakah GEO cuba mencari formula yang sama seperti Nastia? Ini jawapan mereka:
Kalau orang nak samakan muzik kami dengan Nastia, ya mungkin itu sesuatu yang positif bagi kami kerana Nastia adalah sebuah band yang bagus. Mungkin juga konsep muzik kami dan Nastia agak sama. Jadi bunyi seakan-akan tu memang akan ada.
Penulis juga bertanya tentang apa perancangan jangka panjang GEO buat masa ini dan berikut berupakan jawapan mereka:
Perancangan kami selepas release single hadir ni memang kami akan push untuk show yang ada. Dalam masa yang sama kami sedang dalam proses utk menyiapkan single kami yang kedua. So tunggu untuk single kami yang kedua tak lama lagi. Hehe 😁
Untuk jangka masa panjang pula, kami semestinya merancang untuk keluarkan sebuah album. Perancangan itu Insyallah hujung tahun ini atau awal tahun depan. Dan seperti band yang lain, kami mengidam showcase/ konsert kami sendiri dimasa akan datang.
Kami berharap agar peminat muzik terus memberikan sokongan padu dalam usaha GEO memartabatkan muzik Pop Rock Malaysia ke persada Asia Tenggara dan insya-Allah ke mata dunia. Jangan lupa untuk menantikan karya terbaru yang bermutu daripada kami tidak lama lagi.
Konklusinya, single ini boleh dikatakan permulaan yang baik daripada GEO namun penulis berpendapat single ini kedengaran agak kasar dari sudut kualiti. Mungkin itu apa yang GEO inginkan atau mereka masih bereksperimen di bahagian produksi. Penulis mengharapkan GEO dapat menaik taraf kualiti untuk rilisan berikutnya. Walaubagaimanapun, keseluruhannya masih berada di atas par.
Tahniah buat GEO atas rilisan ini, penulis mendoakan kalian terus maju di hadapan dan semoga kita dapat berjumpa satu hari nanti.
Ikuti perkembangan GEO di: