Butterfingers telah melunaskan ‘hutang’ yang tertangguh kepada peminat-peminat mereka apabila tampil penuh aksi dan bertenaga dalam festival Nusa Fest hari ke-2 yang berlangsung di Bandar Malaysia (tapak lapangan terbang lama Sungai Besi), KL pada 9hb Julai 2023.
‘Hutang’ tersebut dikatakan terjadi akibat mereka tidak menghabiskan setlist lagu dalam konsert ulangtahun ‘Transcendence‘ pada tahun 2019 apabila bassist Kadak tiba-tiba dikejarkan ke hospital semasa konsert.
Nusa Fest semalam membuktikan kesungguhan Butterfingers apabila hampir 10,000 peminat terpukau dengan gandingan muzikal mantap Emmet, Loque, Kadak dan Loko yang menggamit nostalgia grunge tempatan era 90-an.
Gitaris Loque tampil dengan busana Melayu rapi beserta songket manakala vokalis Emmet mengenakan pakaian kot bertali leher merah ala Meat Loaf, dua personaliti yang memberikan identiti dan keunikan Butterfingers.
Terdahulu, gabungan band-band independen ternama dari Malaysia, Indonesia dan Singapura beraksi seperti FourtTwenty, Changcuters, Masdo, Pusakata, The Pinholes dan banyak lagi di sebelah petang. Dua pentas gergasi disediakan (‘Panggung’ dan ‘Nusa’) dalam festival tersebut bagi aksi band-band yang bercirikan naratif Nusantara.
Kemuncak Butterfingers ialah lagu ikonik ‘The Chemistry‘ dengan kemeriahan bunga api ke atas pentas pada akhir persembahan beserta letusan konfeti bagi mengakhiri Nusa Fest 2023.
Kredit video: Vibe Paradize
Persembahan itu juga mengimbas kembali penampilan Butterfingers dalam festival Rockaway pada tahun 2017 sebagai ‘headliner’ tetapi tidak sempat menghabiskan lagu terakhir kerana kesuntukan masa.
#ChivasAlexandria