Nama Brendan de Cruz mungkin kurang dikenali di sirkit muzik tempatan, namun jejaka asal Kuala Lumpur ini telah menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang mungkin nama-nama besar lain pun belum mampu capai.
Terbaharu, penyanyi-penulis lagu pop/ alternatif folk ini telah berkolaborasi dengan seorang lagi artis independen Malaysia, Adam Imanullah dalam single Get It On yang dimuatnaik ke saluran YouTube dan platform-platform strim digital pada 4 Julai 2021. Menariknya, kedua-dua mereka telah dipilih sendiri oleh Yuna dalam program HP Creators Of Tomorrow Mentorship Project pada tahun lepas. Bukan calang-calang!
Get It On adalah percubaan berani de Cruz untuk keluar dari zon selesa beliau yang lebih banyak menulis lagu dalam nuansa akustik sebelum ini, dengan menampilkan pengaruh pop/ R&B yang moden dengan sentuhan peribadinya sendiri sebagai penerbit.
Pelbagai instrumen seperti tabla, cello, piano, drum samples dan elemen elektronik menguatkan lagi lagu ini untuk menjadikannya lebih istimewa dan sangat berbeza berbanding apa yang pernah ditulisnya sebelum ini. Lagu ini turut mendapat khidmat pemain bass berbakat, Herman Ramanado yang menyumbangkan groove berbisa.
Naskah ini diadun di Malaysia oleh Derek Rushe dari Dark Rain Productions manakala proses masteringnya mendapat sentuhan Pete Maher, yang portfolionya merangkumi artis-artis popular antarabangsa seperti Damien Rice, Lana Del Rey dan U2. Bila dengar kualiti produksinya, penulis macam tak percaya de Cruz masih belum dikenali dan lagu-lagunya tidak berkumandang di radio-radio tempatan. Diskografi beliau juga agak besar, dengan empat buah EP telah diterbitkan sejak 2016. Harapnya lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada beliau selepas ini untuk terus bersinar.
Ikuti Brendan de Cruz di: