Pernah rasa jatuh cinta tapi terlalu takut untuk menyuarakan isi hati? Ha, lagu ini untuk kalian semua.
Mimpiku merupakan naskah pengenalan dari band Kota Damansara, Hayley’s Komet yang dianggotai oleh Aniq sebagai vokalis dan gitar ketiga, Adam sebagai gitar utama, Musa sebagai guitar kedua, Imran di posisi bass dan Ehsan sebagai drummer. Band yang ditubuhkan pada 2019 ini menggabungkan persona daripada beberapa band iaitu Aniq datang dari Secret Of Dahlia dan Thy Fall Ov Baghdad, Imran dari Torque Six dan Skyfreedom, Musa dan Ehsan dari Murder dan Adam dari Here Comes July.
Menurut Aniq, “Mimpiku mengisahkan tentang insan yang menemui ‘crush’ namun beliau tidak mampu untuk menyatakan rasa terhadap gadis yang dicintainya itu kerana takut cintanya ditolak. Sebagai reaksi, dia buat lagu ini untuk menyatakan perasaannya terhadap gadis itu.”
Tambahnya, lagu ini sebenarnya tentang dirinya sendiri yang mula mengenali seorang gadis dengan personaliti menarik di Clubhouse dan akhirnya bertemu di luar.
“Pertama kali jumpa dia, aku cair gila. Balik tu terus dapat idea untuk karang sebuah lagu. Tapi mungkin habis dekat sini je kot sebab aku ni memang jenis penakut bab cinta ni.
Proses awal penulisan lagu ni bermula masa bulan puasa yang lepas, aku mulakan dari awal lepas tu bandmates yang lain tambah mana-mana bahagian yang patut.”
Mimpiku mengetengahkan nuansa modern rock yang berpotensi dengan struktur lagu yang dinamik yang baik. Walaupun hanya demo, permainan instrumentasi kesemua anggota kedengaran kemas dan kualiti bunyinya juga seimbang dan boleh diterima. Tambahan keyboard dengan riff menarik di intro dan sepanjang lagu menambahkan elemen euphoria, sesuai dengan maskot angkasawan yang digunakan mereka.
Buat masa ini, Hayley’s Komet sedang sibuk menyiapkan material untuk EP pertama mereka yang dijangka akan diluncur pada tahun hadapan. Semoga ada sinar untuk mereka sekaligus memikat telinga pendengar-pendengar muzik independen tempatan.
Ikuti Hayley’s Komet di: