Pertama kali mendengar single band Ipoh ini, terus penulis teringat Arctic Monkeys. Intro-nya sangat berbisa dan mampu membuatkan kita menghentak-hentak kaki mengikut alunan dram dan gitarnya.
Nama The Metro mungkin agak asing bagi kebanyakan peminat muzik bawah tanah, namun kugiran ini sebenarnya telah tertubuh sejak 2014 dan pernah memenangi pertandingan Projek EP Hot FM anjuran Media Prima suatu ketika dahulu.
Setelah beberapa kali melalui proses pertukaran anggota, mereka akhirnya sepakat untuk menukarkan nama asal, OTO kepada The Metro sekaligus melancarkan single terbaharu di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd, Bila Kau Pergi pada bulan September tahun lepas. Ia juga merupakan salah satu trek yang akan dimuatkan dalam EP mereka nanti. Video muziknya pula menyusul pada 31 Disember 2020.
Dari segi struktur, sememangnya diakui Bila Kau Pergi adalah sebuah lagu yang sangat catchy. Permainan instrumen di semua unit juga amat ketat dan dinamik. Setiap verse/ chorus walaupun kedengaran lebih kurang, The Metro bijak menyuntik kepelbagaian corak permainan dengan memasukkan fill/ ghost note yang membuatkan kita tidak bosan mendengarnya sehingga ke minit terakhir.
Walaupun Bila Kau Pergi adalah sebuah naskah yang catchy, liriknya penulis rasa terlalu pop dan agak edgy. Ia tidaklah salah, namun untuk lagu sebaik ini, penulis mengharapkan lirik yang lebih berani dan rugged. Mungkin untuk karya seterusnya?
Penulis juga dimaklumkan oleh mereka bahawa proses rakaman dan suntingan video muzik ini dilakukan 100 peratus oleh mereka sendiri. Amat mengujakan kerana kualitinya sangat baik dan boleh dibanggakan! Sepertimana kebiasaan kugiran-kugiran Ipoh lain, The Metro memilih bandaraya kelahiran mereka sendiri sebagai lokasi penggambaran.
The Metro adalah sebuah band yang baik dan mereka mampu pergi lebih jauh kerana gabungan pop dan brit rock sebegini sudah jarang kita dengar di corong-corong radio. Selain Arctic Monkeys, mereka juga mengingatkan penulis kepada Exists di era Mutan, Seperti Dulu dan Jangan Gentar. Syabas!
Ikuti The Metro di: