Kumpulan Alt Indie Rock dari Teluk Intan, IGNEOUS terus mengukuhkan jenama mereka dalam dunia muzik alternatif tempatan menerusi single terbaharu bertajuk Bebaskan, sebuah karya yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan refleksi terhadap krisis peperangan global.
Ditubuhkan pada tahun 2024, IGNEOUS dianggotai oleh Eizlan (vokal/gitar), Izzat (bass) dan Luqman (dram). Tiga anak muda ini memulakan langkah muzik secara santai sebelum bertekad membawa band ini ke arah lebih serius.
Single Bebaskan lahir daripada rasa simpati dan kemarahan mereka terhadap penderitaan mangsa-mangsa perang yang setiap hari tular di media sosial. Ahli kumpulan tersebut menceritakan bagaimana paparan kanak-kanak terkorban, keluarga hancur dan kehidupan yang musnah menjadi pencetus utama untuk menghasilkan lagu ini. Mereka turut melihat bagaimana konflik sering dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu yang meraih keuntungan daripada penderitaan manusia, menjadikan mesej lagu ini lebih mendalam dan berani.
At one time kami selalu tengok keadaan tempat yang mengalami perang dalam sosmed, keadaan mangsa perang dan teori konspirasi pasal perang. Macam mana ada pihak yang mengambil keuntungan dalam perang. Itu yang trigger kami untuk buat lagu ni.
Walaupun IGNEOUS beroperasi dari Teluk Intan, proses rakaman dilakukan di Smelly Wreck Records, Ipoh. Atas saranan pemilik label tersebut, mastering lagu ini dibuat di luar negara bersama jurutera antarabangsa, Thomas Cassel. Sebelum ini, single pertama mereka dimaster oleh Steve Corrao, namun faktor masa dan kesediaan menyebabkan mereka beralih kepada Cassel untuk rilisan kali ini. Kumpulan itu bagaimanapun menyatakan bahawa kedua-dua jurutera menawarkan kualiti yang memuaskan.
Dari segi identiti bunyi, IGNEOUS memilih untuk tidak terikat pada satu genre, sekaligus membuka ruang kreativiti lebih luas. Walaupun berteraskan Alt Indie Rock, mereka menggabungkan pelbagai pengaruh termasuk elemen rock moden, pop punk dan riff berat. Pendengar turut dapat merasai sedikit nuansa 30 Seconds to Mars pada bahagian pembukaan Bebaskan, sementara tona gitar pula memberi bayangan gaya Andra Dewa. Melodinya ringkas namun kuat, menjadikan lagu ini mudah diingati.
Namun begitu, saya berpendapat mereka masih mempunyai ruang untuk menambah baik aspek teknikal, khususnya di bahagian mixing dan mastering. Nada drum serta keseluruhan bunyi diakui boleh dipertingkatkan lagi untuk menghasilkan produksi lebih kukuh pada masa akan datang. Bagi IGNEOUS, mixing dan mastering masing-masing memainkan peranan penting dalam menghidupkan sesebuah lagu.
Sejak memulakan perjalanan seni mereka, IGNEOUS telah tampil di pelbagai gig di seluruh negara termasuk Anson Calling, Locus Forge, Greydian Session, Rising Fest 17 serta beberapa siri persembahan di Ipoh, Taiping, Nilai dan Cheras. Setakat ini, mereka telah meriliskan dua single iaitu Kemana dan Bebaskan, dengan lebih banyak lagu dalam proses rakaman untuk projek seterusnya.
Menjelang 2026, IGNEOUS merancang untuk berehat sementara bermula Disember ini kerana vokalis mereka menyambut kelahiran cahaya mata pertama. Aktiviti band dijangka kembali rancak sekitar pertengahan tahun depan, termasuk menyambung rakaman, bermain gig dan membina momentum ke arah penerbitan EP atau album penuh pertama mereka.
Sebab lagu ada banyak lagi belum record. Tapi kami mungkin akan start balik pertengahan 2026.
Dengan barisan karya yang semakin berkembang, mesej yang kuat serta keinginan bereksperimen merentasi genre, IGNEOUS kini dilihat sebagai antara band alternatif tempatan yang paling berpotensi untuk muncul sebagai suara baharu dalam muzik independen Malaysia. Bebaskan bukan sekadar single, tetapi satu pernyataan muzik dan kemanusiaan yang menunjukkan mereka serius, fokus dan bersedia melangkah lebih jauh.
Ikuti Igneous di: