Sedar tidak sedar, umat Islam bakal sekali lagi menyambut hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri, dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Jika sebelum ini setiap kali musim perayaan menjelma pasti ada pempengaruh kosmetik popular yang mencetuskan sensasi dengan rilisan lagu raya yang penuh kontroversi, tahun ini suasananya sedikit berbeza.
Bagi Aidilfitri 2026, kumpulan Hey Jay! turut mengambil peluang untuk memeriahkan sambutan dengan menghasilkan lagu raya mereka sendiri, sekali gus menambah warna kepada senarai lagu perayaan yang bakal menemani pendengar sepanjang musim raya tahun ini.

Hey Jay! bukan lagi nama asing dalam kalangan peminat muzik tempatan. Malah, kumpulan ini boleh dianggap sebagai “household name” setiap kali mereka membuat persembahan di Merdekarya.
Menurut vokalisnya, Jay Ridzwan, idea menghasilkan lagu raya tercetus daripada keinginan untuk menampilkan sesuatu yang berbeza, selain terus mempertingkat mutu penulisan karya Hey Jay!. Walaupun ramai beranggapan lagu raya klasik lebih menjadi dan sukar ditandingi oleh karya baharu, hakikatnya tanggapan itu tidak semestinya tepat.
Dalam karya ini, Hey Jay! masih menyelitkan sentuhan tradisi melalui bait-bait lirik sambil mengekalkan nuansa ceria yang sinonim dengan lagu raya. Pada masa sama, terselit juga luahan rindu terhadap ibu bapa serta suasana kampung halaman, emosi yang dekat dengan kebanyakan orang setiap kali Aidilfitri menjelang.
“Kembali Aidilfitri” turut menjanjikan bunyian yang berani keluar daripada acuan tipikal lagu raya yang sering didengar saban tahun. Menerusi rilisan ini, Hey Jay! membuktikan bahawa lagu raya moden masih mampu hadir dengan identiti tersendiri tanpa perlu terikat sepenuhnya pada formula lama.
Lebih menarik, “Kembali Aidilfitri” turut dilengkapi dengan sebuah muzik video yang menguatkan lagi suasana serta aura perayaan yang cuba dibawakan oleh lagu ini. Visual yang dipersembahkan membantu menambah elemen kemeriahan Aidilfitri sekali gus melengkapkan keseluruhan pengalaman mendengar dan menontonnya.
Pada pandangan penulis, usaha seperti ini wajar diraikan kerana ia memberikan warna baharu kepada tradisi lagu raya yang sekian lama menjadi sebahagian daripada budaya kita. Jika lebih banyak percubaan sebegini dilakukan oleh pemuzik tempatan, tidak mustahil akan lahir lebih banyak lagu raya generasi baharu yang mampu menjadi halwa telinga pendengar masa kini.
Siapa tahu lagi 30 tahun lagi, lagu “Kembali Aidilfitri” kami ini akan menjadi klasik juga?-Jay Ridzwan
Akhirnya, “Kembali Aidilfitri” membuktikan bahawa lagu raya tidak semestinya terikat pada acuan lagu klasik yang hadir sebelumnya. Walaupun karya-karya klasik sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati pendengar, lagu baharu tetap mempunyai ruang untuk berkembang dan membentuk identitinya sendiri.
Melalui rilisan ini, Hey Jay! berjaya menghadirkan sebuah lagu raya yang terasa moden namun masih mengekalkan jiwa dan semangat Aidilfitri yang menjadi teras kepada tradisi lagu perayaan tersebut.