Siapa sangka dua nama ini berada dalam satu ayat. Jikalau penulis mengeluarkan statement ini pada tahun 2018, mesti ramai yang menggaru kepala dan pening kerana ianya ibarat langit dan bumi. Kurt Cobain adalah seorang legenda muzik yang tak perlu diperkenalkan lagi. Tapi, siapakah Poppy?
Poppy bermula dengan vlog di Youtube dan menjadi viral lantas dilamar oleh Island Records sebagai artis rakaman. Pada awalnya, pembawakan genre tertumpu kepada electro, bubblegum pop, art-pop dan segala jenis pop yang agak pelik demi memancing perhatian penggemar muzik. Untuk album kedua, Am I A Girl?, beliau bekerjasama dengan penerbit Diplo, Fernando Garibay dan Grimes. Album ini masih kuat pengaruh electropop tetapi beliau mula menyuntik sedikit perasa nu-Metal seakan memberi bayangan masa depan hala tuju kariernya.
Penghujung 2019, Sumerian Record (Born of Osiris, I See Stars, Sleeping with Sirens) mengumumkan Poppy akan menyertai label tersebut dan pembawakan genre muziknya akan menjadi lebih berat. Ini terbukti di dalam album ketiganya, I Disagree yang sangat pekat dengan bunyi nu-Metal, heavy rock, avant-garde dan seangkatan dengannya. Album ini masih lagi mengekalkan pop dan electropop sebagai terasnya.
Nama beliau mula mendapat perhatian dari pengamal media seperti Kerrang, Revolver, Metal Hammer, Louder Sound dan mencipta sejarah sebagai penyanyi solo wanita pertama dicalonkan di dalam kategori Best Metal Performance di anugerah Scammy, eh Grammy. (kuat jugak Sumerian melobi walaupun ramai yang skeptikal…)
Tahun 2021 pendengar dihidangkan dengan rilisan terbaru beliau yang lebih brutal dari album sebelum ini. EP terbaru, EAT lebih menjurus kepada metalcore dan industrial rock tetapi lagu terbaru yang berjudul Her, tertumpu ke arah Grunge. Pengkritik-pengkritik luar memuji rilisan ini dan berpendapat ianya membawa kesinambungan akan kebangkitan muzik rock dan pop punk di arena mainstream semasa ini. Malah tidak keterlaluan dikatakan jika vokal ini diganti dengan suara emas Kurt, tidak mustahil ianya sesuai ditempatkan di dalam album In-Utero. Nilaikan sendiri.