
Julian Mokhtar
Muzik blues di Malaysia kurang mendapat pendedahan kalau diperhatikan. Genre ini ramai penganalisis dan sejarawan muzik bersetuju bahawa akar umbi rock, pop dan banyak lagi bermula dari “blues” pada tahun 40an di Amerika Syarikat.
Kalau ada pun, tak banyak yang diputarkan di radio-radio. Dari pengetahuan penulis, hanya Blues Gang yang berjaya meninggalkan nama di persada muzik Malaysia. Cukup gergasi nama mereka.
Bagi penulis, muzik blues ni boleh dicam dengan bunyian gitarnya. Sama seperti Blues Gang melalui cap mohor gitaris mereka iaitu Julian Mokhtar dan Tok Ghani.
Julian merupakan gitaris berdarah kacukan Inggeris dan Melayu. Apa yang menariknya tentang beliau dan adalah dia memainkan muzik blues dan mengadunkan bunyian gitarnya ke dalam lagu-lagu Melayu, yang mana kebanyakannya berdialek Negeri Sembilan/ Minang.
Sebelum menjadi ahli rasmi Blues Gang, Julian merupakan krew dan peminat band tersebut. Sering mengikuti persembahan mereka di kelab malam, beliau akhirnya dijemput menjadi gitaris utama menggantikan Ahmad Dollah iaitu gitaris asal Blues Gang.
Selepas penyertaan beliau, mereka mengolak langkah dan berjaya menempa nama dalam industri muzik Malaysia dengan bunyian blues rock.
Apo Nak Dikato, Khatulistiwa dan Jumpo Kawan Lamo adalah beberapa contoh. Lagu-lagu popular yang lain seperti Nyamondo, Oh! Mama, Saya Mahu Kahwin dan Mak Siti. Lagu Oh Inikah Dia pula adalah antara contoh terbaik di mana di dalam lagu itu, solo gitarnya seakan akan Eddie Van Halen. Boleh dengar melalui pautan link video di bawah:
Ini membuktikan kreativiti dan visi Julian berbeza dengan gitaris-gitaris rock kapak kemudianya dan sukar untuk dicari ganti sehingga kini. Beliau adalah salah satu khazanah negara Malaysia, tidak dilupakan juga kumpulan Blues Gang.
Dan dari pendapat penulis, Blues Gang adalah sebuah institusi berbanding sebuah band. Ini kerana selain Julian yang mempunyai darah Inggeris, Blues Gang juga mempunyai kepelbagaian dari segi etnik. Jim Madasamy berbangsa India. Gitaris kedua Tok Ghani mempunyai ibu berbangsa Cina, Shaikh Karim ada darah Pakistan dan Ito pula berdarah Melayu, Minang dan Yaman. Pendek kata, Blues Gang adalah sebuah band yang benar-benar Malaysia. Faktor ini juga melayakkan mereka untuk menjadi band Malaysia pertama menerima Anugerah Brand Laureate pada tahun 2014!
Harapan penulis hanya satu. Pada masa akan datang, akan muncul sebuah lagi band blues yang sama hebatnya untuk meneruskan legasi ampuh yang telah ditinggalkan Blues Gang.
P.S – Bagi sesiapa ingin mengetahui perjalanan hidup Julian bersama Blues Gang, boleh ikuti temubual kami bersama beliau melalui pautan di bawah.