“Kami takut peminat band lain marah!” – Kapow Juara Battle of the Boom 2021

oleh Rahmat Mohd Did
2.7K bacaan

Bersaing dengan lebih 500 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei bukan kerja mudah, tetapi Kapow membuktikan mereka adalah yang terbaik setelah berjaya menggondol tempat pertama Battle of the Boom anjuran Hausboom Music dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Bermula sejak 1 Februari 2021 di kala negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kapow menjelaskan rintangan paling besar yang perlu dihadapi mereka untuk pertandingan ini adalah ‘masa.’

“Masa yang Hausboom bagi memang sangat mencabar. Masa pemilihan pertama tu, dah la PKP tak boleh keluar ke mana-mana, jadi terpaksa korek bank MV Kapow yang lama-lama. Paling terbaru ialah di Anugerah Lagu Indie (ALI), jadi pakai yang tu je. Rupa-rupanya ada lagi juri yang belum tengok. Haha!

“Jadi bila terpilih ke semi final, dia bagi lagi masa 1 minggu kalau tak salah. Nasib baik masa tu tengah buat rakaman di Iseek Kota Damansara. Dengan kelam-kabutnya kita set 1 hari di studio, idea pun ringkas je la, asal siap dan tak lambat hantar. Videographer yang datang pun impromptu je. Rakam apa yang boleh. Ringkas tapi tetap tak hilang kreativiti dan identiti diri masing-masing. Lagu tu pun akan jadi single baru kami nanti. Jadi bantai je la,” jelas Mie sebagai vokalis dan kumpulan.

Ini bukan kali pertama Kapow mengungguli pertandingan muzik berprestij sebegini. Tiga tahun lepas, mereka meragut gelaran juara Vans Musicians Wanted 2018, jadi mengalah tiada dalam kamus hidup mereka.

Berkongsi tentang perjalanan mereka ke final, Mie berkata waktu itu mereka semua sangat sibuk. Baan (pemain dram) dan Roland (gitaris) terlibat dengan persembahan reunion Popkonspirasy manakala beliau sendiri sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.

“Dari situ kami putuskan untuk pakai lagu baru yang ada lebih karakter. Itu yang semua setuju pilih lagu Lincah Kaduk, walaupun agak ralat juga sebab keluarkan awal-awal. Tapi berbaloilah!

“Dari segi idea, awal-awal tu aku fikir nak buat mudah je, ada orang berlari bawa air Hausboom kat band sebab lagu tu sendiri pasal nak suruh cepat dan jangan bertangguh. Idea tu berkembang bila kami dah mula praktis dan videografer terlibat. Lepas tu ada salah faham sikit pasal pemain trumpet, tapi akhirnya dapat juga Iz dari Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS). Maka dari situ idea bercambah lagi dan terhasillah MV tu.

“Apa yang penting, MV tu tak nampak terlalu straightforward sebab motif pertandingan ni adalah untuk mempromosikan produk Hausboom dengan cara kreatif, lepas tu baru juri akan adili lagu dan video,” jelas Mie lagi.

Tambahnya, banyak lagi rintangan melanda menjelang hari pengumuman pemenang pada 13 April. Dari masalah sari kata video terpotong, tontonan rendah berbanding band lain sehinggalah penipuan melibatkan ‘bot’ di mana juri akhirnya membuat keputusan 95% markah adalah berdasarkan penilaian juri dan hanya 5% dari penilaian awam (likes).

“Kami tak harap apa-apa pun, sebab rasa band-band lain lagi baik. Tapi ada sorang kawan kami nama Oya ni, dia memang yakin betul Kapow menang. Siap nak letak RM50 atas meja!

“Aku sebenarnya takut Kapow menang. Bukan apa, tontonan dan likes band-band lain ada yang cecah 12,000. Kami punya 2,000 je. Takutlah peminat-peminat band lain marah kami pulak!

“Tapi lepas juri terangkan pasal pemarkahan tu, barulah aku rasa benda ni cukup adil. Tapi masih tak percaya Kapow menang!,” luah Mie mengakhiri pertanyaan.

Juri-juri professional yang terlibat termasuklah AG Coco, Qi Razali, Youk Bunkface, Alif Satar & The Locos dan juri dari Indonesia, Aska Rockers.

Kapow berjaya memenangi pertandingan ini melalui skor juri dan undian peminat. Mereka membawa pulang hadiah utama yang merupakan wang tunai RM10,000, manakala tempat kedua dimenangi oleh Hyndia (RM3,000) dan ketiga Banyak Bunyik Republik (RM2,000).

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅