Selepas projek kolaborasi lagu “Jangan Menghina” yang menggabungkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, Smileyriver Online (Smileyriver) sekali lagi menggabungkan dua nama besar dari dua genre berbeza – Inteam (pop nasyid) dan Sam Bunkface (punk rock).
Mencari Sinar membawa mesej ‘penghijrahan’ dan dilancarkan bersempena Ramadan iaitu bulan penuh rahmat dan keampunan, juga bulan yang sudah sinonim dengan penghijrahan kerana dalam bulan inilah umat Islam lebih bermotivasi untuk berubah dan ‘berhijrah’.
Single ini merupakan sebuah karya baharu yang mana melodi dan lirik asalnya ditulis oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Allahyarham, jika ramai masih ingat dan kenal, ialah penyanyi era 70-80an yang banyak menghasilkan lagu-lagu dakwah. “Mencari Sinar” ialah salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam sebelum ini. Istimewanya, inilah satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalamnya. Bagaimanapun, bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung di dalam lirik, Sam Bunkface telah membuat improvisasi pada rangkap rap lagu ini.
Bagi mewujudkan kelainan serta keseimbangan kepada genre dan mood lagu, Smileyriver telah mendapatkan khidmat Sam Bunkface sebagai penyusun muzik di mana Sam turut bekerjasama dengan Epul Kuat bagi tugas ini. “Mencari Sinar” turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan.
Menurut Sam, beliau pernah bercita-cita untuk menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu-lagu nyanyiannya namun tidak pernah berhasil.
“Sam pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi. Allah nak makbulkan doa sam, tiba-tiba label Smileyriver approached untuk kolaborasi lagu Mencari Sinar! Doa Sam makbul dan Sam excited nak menyanyi sesuatu yang lain dari kebiasaan.”
Mencari Sinar diadun (mixing) oleh Epul Kuat, manakala proses mastering dilakukan oleh Felix Voon. Video muzik Mencari Sinar pula diarahkan oleh Muhammad Iszee dari Clora Studio.