Pada tanggal 9 April 2021 hingga 11 April 2021, penulis telah ke Johor Bharu bersama Freshtown Records untuk menjayakan acara Crazy Grizzly Soft Launching: Tergiversate bertempat di Spundok @ Lotus HQ pada 10 April 2021 secara live streaming di live.tapau.asia.
Bukan itu sahaja, acara kali ini juga agak istimewa kerana dianjurkan bersempena dengan #HariGigKebangsaan pada 10 dan 11 April 2020. Turut serta adalah tiga buah band iaitu Concecrate, Check Your Head dan Freshtown Allstars.

Music Addicts Malaysia X Freshtown Records.
Walaupun acara ini dilaksanakan secara maya, kru-kru dari Freshtown Records telah melaksanakan tugas mereka dengan cukup baik. Selain itu, gig ini berlangsung dengan begitu lancar dari titik mula acara hinggalah ke akhir. Tidak dilupakan juga, kehadiran penonton dalam live streaming amat memberangsangkan dan ini membuatkan penulis percaya pastinya ramai yang tidak sabar menanti kehadiran album Crazy Grizzly setelah usai menonton set mereka.
Bukan itu sahaja, penulis tertarik dengan hasil kerja dari Spunkdok HQ dalam menghasilkan bunyi yang berkualiti setaraf dengan Audiotree di samping kehadiran Ucop Classmates sebagai jurutera bunyi telah memberi impak yang besar sepanjang live streaming ini dijalankan. Buat semua band dari selatan tanah air, inilah lokasi yang sepatutnya kalian hadir untuk mengacarakan live streaming dan hasilnya sememangnya umpph!! Spunkdok HQ juga menawarkan produksi rakaman audio dan video dengan harga yang amat berpatutan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merakamkan single atau album bersama mereka.
Bercerita tentang Crazy Grizzly, penulis tidak menafikan bahawa mereka semakin matang dalam pembikinan lagu. Kesemua lagu terbaru mereka disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Jika kalian menutup mata sebentar untuk mendengar lagu seperti The Seven Sleepers, pastinya minda kalian berteka-teki bahawa band ini merupakan band dari luar negara. Akan tetapi teka-teki terhenti di situ kerana ini merupakan sebuah band dari selatan Tanah Air iaitu Johor Bahru, Malaysia. Tetapi, apakah lagu yang menjadi kegemaran penulis? The Seven Sleepers dan Death Stranding adalah menjadi halwa telinga penulis.
Jutaan tahniah atas pelancaran album ketiga Crazy Grizzly. Semoga kalian dapat memberi sinar baharu buat muzik berteraskan Metalcore di Malaysia. Penulis mendoakan kesejahteraan kalian dan pastinya akan turut hadir ke setiap acara yang mana mereka ditampilkan. Buat Freshtown Records, Terima Kasih atas kesudian kalian untuk berkolaborasi dalam acara ini. Semoga kita dapat bersua kembali untuk acara yang seterusnya. Adios!!!
Ikuti Crazy Grizzly di:
Ikuti Freshtown Records di