Sejak kerajaan membenarkan majlis persembahan langsung dijalankan dengan SOP ketat, maka berpusu-pusulah penganjur dan band seluruh negara merancang gig untuk melampiaskan ‘sangap’ yang telah lama terpendam. Atas Angin dan Hashtag Media sebagai penganjur acara yang sedang meningkat naik juga tidak melepaskan peluang dengan ‘menghidupkan’ kembali kugiran Popkonspirasy yang telah empat tahun hiatus pada 3 April 2021 bertempat di Angkasa Event Space, Kuala Lumpur.
Akibat tiket yang sangat terhad iaitu hanya 50 orang dalam satu masa, acara ini dibuka kepada dua slot iaitu satu petang dan satu lagi malam dan dalam sekelip mata, kedua-dua slot sold out! Jangan main-main dengan peminat yang dah lama takj tengok gig.
Penulis hadir pada sesi kedua di mana kugiran britrock Kuala Lumpur, Bonafides memulakan persembahan tepat jam 8 malam sebagai band pembuka panggung. Set mereka hadir dengan pakej lima lagu termasuk sebuah lagu baharu yang menampilkan Sasha Ningkan dan sebuah lagu saduran The Strokes, New York City Cops.
Pentas kemudian diambil alih oleh Iqbal dari Iqbal M. yang tampil berbeza dengan set DJ dan irama disko. Beberapa lagu dipersembahkan termasuk sebuah lagu akustik untuk Kalau Tewas Nanti Parah. Salah seorang penonton juga menjadi ‘mangsanya’ apabila dijemput ke atas pentas untuk memainkan keyboards bersama-sama.
Orkes A. Hizadin sebagai aksi ketiga malam itu datang dengan satu tujuan: kasi pecah! Mana tidaknya, persembahan mereka turut disertai pemain bass undangan, AG Coco yang membuatkan kesemua 50 orang penonton bangun dari kerusi dan terus berjoget. Kudos!
Akhir sekali, persembahan yang ditunggu-tunggu, Putuceri & Co mengambil alih pentas dengan Pop Konspirasy! Pentas gamat melayan alunan lagu-lagu klasik mereka termasuk Sejoli (feat. Noh Salleh) dan Sepertimu (feat. Myo) walaupun tanpa kelibat penyanyi undangan asal.
Mereka juga turut mengumumkan pelancaran koleksi lagu-lagu Popkonspirasy kini boleh dilayan dalam bentuk album digital di semua platform strim atas talian. Bolehlah layan dulu sementara menunggu material baru pula selepas ini.
Tahniah diucapkan kepada Popkonspirasy, semua band yang terlibat dan pihak penganjur Atas Angin dan Hashtag Media atas kejayaan menganjurkan gig yang amat menghiburkan ini. Jumpa lagi di lain masa. Adios!