5 April – Tarikh Kematian 2 Ikon Grunge (Kurt Cobain & Layne Staley)

oleh Iscandarz
596 views

Tarikh 5 April setiap tahun pasti mengundang kesedihan kepada pengikut-pengikut dan pendukung-pendukung tulang belakang Grunge. Ini kerana itulah tarikh kematian 2 lagenda besar Grunge iaitu Kurt Cobain (Nirvana) dan Layne Staley (Alice In Chains).

Nirvana dan Alice in Chains ialah 2 band utama dalam Big 4 of Grunge selain Pearl Jam dan Soundgarden yang mana kesemuanya berasal dari Seattle. Disebabkan kedua-dua vokalis ini berkongsi tarikh kematian yang sama, ia terus mengundang misteri pada muzik Grunge yang juga telah menelan Chris Cornell (Soundgarden) pada tahun 2017.

Kurt Cobain (Nirvana)

Kurt ditemui mati pada 5 April 1994 dengan kesan tembakan di kepala dan nota bunuh diri di rumahnya pada usia 27 tahun. Pada hari kematiannya, ramai yang terkejut sehinggakan para peminat berkerumun di seluruh bandaraya Seattle dan menunjuk perasaan. Kesemua mereka jelas berang dengan tindakan Kurt yang merupakan ikon mereka, tetapi akhirnya akur bahawa itulah nasib yang menimpa lagenda.

Tunjuk Perasaan Membantah Kematian Kurt di Seattle pada tahun 1994.

Kurt meninggalkan balu Hole dan anak perempuan Frances Bean serta legasi muzik yang sangat agung kepada generasi alaf baharu.

Menurut sumber CIA, muzik Rock moden tidak akan wujud hari ini jika tidak kerana Kurt Cobain, dan mereka juga mengiktiraf sumbangan Kurt Cobain dalam mengubah bukan sahaja sejarah muzik, tetapi politik dan sosial.

Layne Staley (Alice In Chains)

Layne pula ditemui mati pada 5 April 2002 kerana overdose pada usia 34 tahun. Semasa kematian, terdapat gabungan kesan kokain dan heroin dalam tubuhnya, satu situasi mega yang juga dikenali sebagai speedball.

Menurut sumber, ibu Layne telah menendang kondo beliau setelah sudah 14 hari tidak menerima khabar berita dan mayat beliau hanya ditemui pada 19 April 2002. Kemunculan beliau terakhir ialah semasa konsert KISS pada tahun 1996 dan selepas itu, beliau hidup menyepikan diri – satu misteri kehidupan yang aneh bagi seorang Rock Star tulen.

Kondo Tempat Layne Stanley Dijumpai Mati di Seattle.

Bersama Alice In Chains, gandingan beliau dengan gitaris Jerry Cantrell telah mewujudkan satu kombinasi muzikal yang sangat hebat dengan lagu-lagu seperti ‘Would?’, ‘A Man In The Box’, ‘Down In A Hole’, ‘Rooster’ dan ‘Nutshell’. Layne sentiasa dikenang kerana keunikan aura Hard Rocknya dalam pembawaan vokal Grunge.

Keagungan Layne juga ialah kerana tidak ada sesiapa pun dalam dunia ini yang mampu mengimitasi atau meniru identiti gaya vokal beliau, tidak seperti Kurt (Emmett Butterfingers dan bermacam-macam lagi ‘wannabe’) atau Eddie Vedder (Scott Stapp Creed dan Disagree).

Kedua-dua ikon ini telah berkongsi tarikh kematian yang sama, 5 April. Pada tahun 2017, vokalis Soundgarden, Chris Cornell pula berlalu pergi kerana bunuh diri. Maka, kini hanya tinggal Eddie Vedder (Pearl Jam) sebagai vokalis Grunge terulung yang masih bertahan dan kekal bernyawa hingga hari ini.

Grunge akan terus megah sebagai arus muzik Rock moden sebenar, terima kasih kepada 2 ikon ini. Walaupun mereka telah tiada, suara keramat Kurt dan Layne Staley akan terus dikenang oleh generasi hari ini di seluruh pelusuk dunia.

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati