Tahun 2020 yang kelam telah berlalu meninggalkan semua. Ramai di antara kita, lebih-lebih lagi pemuzik mengharapkan tahun ini akan wujudnya sinar baharu, namun sekali lagi mendung tiba membuat segalanya kembali suram.
Duo R&B pop, Wanted Symphony cuba mengubati hati-hati duka lara dengan meluncurkan single Disappear (Stripped) yang menampilkan penyanyi R&B sedang meningkat naik, Nadhira.
Lagu ini asalnya adalah sebuah karya electro-pop yang telah dilancarkan pada bulan Disember tahun lepas. Versi stripped dengan nuansa ballad pop kali ini menurut mereka lebih menggambarkan perspektif sebenar lagu berkisar tentang harapan untuk ‘kembali’ ini. Sangat bertepatan dengan apa yang sedang berlaku kepada dunia sekarang.
Ini bukanlah kali pertama keduanya berkolaborasi. Pada tahun 2018, mereka telah menghasilkan sebuah video muzik untuk lagu saduran Frank Sinatra, Have Yourself A Merry Little Christmas.
Dalam menghadapi satu lagi tahun yang tidak menentu dalam industri muzik Malaysia, kehadiran karya-karya sebegini amat dialu-alukan. Melodinya indah, paduan suara yang cemerlang dan lirik yang sangat bermakna. Kudos!
Ikuti mereka di Instagram: