Pamungkas, penyanyi dari Indonesia yang terkenal dengan kelunakan suara serta kehebatannya mencipta lirik sendiri telah menjayakan konsert di Malaysia sabtu lalu di Arena Megastar. Pihak MAMY difahamkan bahawa jumlah bilangan penonton yang hadir pada malam konsert tersebut adalah lebih dari 3,000 orang termasuk satu mini showcase yang diadakan awal sehari di The Bee Publika.
Pamungkas muncul di atas pentas dengan sorakan kuat ribuan penonton. Alunan lagu dan lirik mula berkumandang. Suara Pamungkas dan peminatnya bergabung dalam satu ruang yang galau, ruang di antara terus berharap atau perlu melepaskan. Lebih daripada 15 lagu dipersembahkan pada malam tersebut sahaja.
Antara lagu yang diberi tumpuan pastinya To The Bone kerana mesejnya yang cukup kuat. To The Bone adalah cerita lama Pamungkas kepada peminatnya tentang kisah kegalauan seorang lelaki terhadap wanita yang sangat dia cintai. Namun, lelaki tersebut harus merelakan wanita itu pergi kerana keadaan sukar yang begitu memaksa.
Setelah persembahan semua lagu tamat, Pamungkas juga ada menyelit ucapan ringkas dengan pesanan bahawa semua orang mempunyai mimpi sendiri. Tidak mustahil sebagai manusia untuk kita mencapai mimpi dan kita mesti berusaha untuk jadikan angan-angan dari mimpi kita suatu realiti. Sentiasa percaya diri kerana jika bukan kita yang percaya diri kita sendiri, siapa lagi…? Begitulah Pamungkas, seorang anak seni dengan karakter peribadi kuat yang begitu puitis. Konsert malam tersebut diakhiri dengan sesi meet & greet.
“Untuk pengetahuan semua, kami sudah merancang jelajah Asia Tenggara ini sejak dua tahun lepas. Namun kerana pandemik yang berlaku, kami telah menangguhnya demi keselamatan semua. Tetapi, pada masa yang sama, saya masih bersyukur kerana tempoh dua tahun adalah cukup lama sehingga saya dapat menyiapkan album ke-4 berjudul BIRDY,” kata Rizki Rahmahadian Pamungkas dalam sidang media tertutup yang telah diadakan khamis lepas.
Walaupun menurut Pamungkas jelajah ini bukanlah mudah dan amat memenatkan tetapi dia akan selalu mengingatkan diri bahawa objektif utama ia diadakan adalah untuk memperkenalkan dirinya ke seluruh Asia Tenggara dan bertemu peminat secara peribadi, selain memastikan bakatnya dalam persembahan langsung dipertontonkan.
Rancangan jelajah ini bermula apabila lagu To The Bone menjadi hit di 4 negara iaitu Filipina, Thailand, Malaysia dan Singapura menurut data dari Spotify. Disebabkan itu, peminat muzik mula mendengar lagu-lagunya yang lain.
“Maka, kami memberikan jelajah ini dengan nama yang sama dengan album keempat BIRDY: Jelajah Asia Tenggara bagi menarik tuah,” jelas Pamungkas.
Persembahan Pamungkas di Kuala Lumpur dibawa oleh penganjur Tala Records Asia, SoundScape dan Maspam Management sendiri dari Indonesia. Juga diuruskan dengan kerjasama JCPR. Kuala Lumpur adalah negara ke-3 selepas Thailand dan Filipina.
Sejak menceburi bidang muzik dengan album pertamanya pada 2018 berjudul Walk the Talk, Pamungkas telah mengukir nama sendiri. Bereksperimen dengan menggabungkan banyak elemen muzik kepada satu cara menulis lirik adalah sukar tetapi bagi dirinya perkara tersebut unik. Setelah mengeluarkan 4 album sehingga hari ini, Pamungkas rasakan sudah tiba masa untuk dia menjadi lebih professional dalam menghasilkan karya baharu.
“Sukar sebenarnya untuk saya bereksperimen dengan penuh rasa ingin tahu dalam diri. Album BIRDY sendiri wujud untuk mewakili ekspresi hati saya, serta metafora jiwa untuk apa-apa perasaan yang sukar saya luahkan. Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah hadir, membeli tiket dan menjayakan persembahan saya di Kuala Lumpur dan saya amat menantikan untuk bertemu semua orang lagi di masa akan datang”, tambah penyanyi berusia 29 tahun itu.
Sebelum temubual bersama pihak MAMY tamat, Pamungkas ada menyatakan hasratnya untuk berduet dengan artis Malaysia jika diberikan peluang. Dua nama yang disebut adalah Noh Salleh dan Zee Avi.
Kami dari pihak MAMY ingin berterima kasih atas jemputan sidang media dan konsert untuk kedua-dua malam. Semoga Mas Pam terus hebat berkarya dan maju jaya!
Ikuti mereka di:
Pamungkas
Tala Records Asia