Pelopor doom metal Malaysia, Modar mengumumkan album keempat mereka, Badhtra Srodja bakal menemui peminat pada 22 Mac 2021. Walaupun bergelut dengan situasi pandemik, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat band dari Terengganu ini untuk menghasilkan buah tangan baharu setelah kali terakhir muncul dengan album Lost Firdausy pada tahun 2009.
Diterbitkan oleh Gedebe Records, lapan buah lagu baharu bakal dipertaruhkan untuk santapan peminat yang mendambakan irama melankolik dan duka.
Modar merupakan nama yang tidak asing di sirkit underground tanahair. Album pertama mereka, Inferior Symphony diterbitkan pada tahun 1992 sebaris dengan kelahiran album-album klasik lain seperti Suffercation – Day Of Darkness dan Silent Death – Before The Sunrise.
Untuk album ini, pengasas band iaitu Lan @ Mang kekal di posisi vokal/gitar dan dibantu oleh Ilhan (gitar), Qif (gitar) dan Ariff (drum). Sebagai promosi, mereka telah memuatnaik sebuah video muzik pada 17 Mac lepas untuk lagu Senseless Dying Breath (Slasyh).
Kepada yang ingin memiliki album ini dalam format CD dan kaset, perlu bertindak secepat mungkin kerana Gedebe Records hanya mencetak sebanyak 333 unit CD (RM30) dan 222 unit Kaset (RM25). Pembelian boleh dibuat melalui tempahan di laman Facebook Gedebe Records atau distro-distro terpilih seluruh negara.
Ikuti Modar di:
Ikuti Gedebe Records di: