Masdo Luncur ‘Lautan Asmara’ Secara Eksklusif di Joox

oleh Rahmat Mohd Did
947 views

Setelah kejayaan album Jalan Abbey tahun lepas, Masdo kembali memeriahkan tahun baru 2021 dengan buah tangan baharu, sebuah single berjudul Lautan Asmara yang dilancar secara eksklusif di laman strim Joox, tepat jam 5.00pm pada 22 Januari 2020.

Pengumuman tersebut dibuat di laman Instagram Masdo tengahari semalam dan mendapat reaksi positif daripada peminat-peminat mereka, selain tidak kurang juga yang mengharapkan lagu tersebut turut dimuatnaik di platform-platform lain seperti YouTube dan Spotify.

Lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Ali Sariah ini mendapat khidmat ATAS By Bijan FX untuk keseluruhan proses rakaman dan ‘angin perubahan’ ini menyaksikan Masdo hadir dengan ‘bunyi’ yang lebih segar, susunan lagu yang lebih geliga dan eksperimentasi yang lebih berani. Dari segi lirik, boleh dilihat jelas kesinambungan gaya Kasih & Sayang yang lebih menumpukan soal ketuhanan dan nasihat berbanding cinta sesama manusia semata-mata.

Kerjasama antara Joox dan Masdo ini menandakan sebuah sinar baharu kepada pemuzik-pemuzik tempatan kita bahawa bakat dan pengaruh mereka semakin dikenalpasti di pelbagai platform, bukan sekadar mengharapkan radio arus perdana sahaja. Mungkin selepas ini lebih banyak kugiran alternatif tempatan lain akan turut mendapat peluang sebegini?


Dalam perkembangan lain, Masdo turut membuka pra-pesan album Jalan Abbey dalam format piring hitam yang akan dirilis pada 21 Februari 2020. Terhad kepada 150 keping sahaja, 100 pembeli terawal juga bakal menerima gambar polaroid secara percuma. Apa tunggu lagi? Buat tempahan di tokorasmimasdo.com sekarang!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati