Tanggal 27 April 2023 malam Jumaat, hilangnya seorang legenda rock tanah air iaitu Mael XPDC yang menghembuskan nafas terakhir di hospital Sultanah Fatimah, Muar Johor.
Penyanyi kelahiran Muar itu telah selamat disemadikan di Bakri, Muar pada keesokan pagi Jumaatnya. Satu pemergian yang dianggap keberkatan terutamanya dalam kalangan kaum muslim.
Namun, apakah sebenarnya yang menyebabkan kelegendaan Mael XPDC sebagai vokalis Rock unggul negara?
Mael XPDC memiliki satu koleksi yang sangat berharga kepada industri muzik Malaysia iaitu katalog lagu-lagu ikonik yang menjadi siulan para peminat Rock tanah air.
Lagu-lagu ikonik yang dinyanyikan beliau sepanjang bersama XPDC dari asal-usul era Rock Kapak sehinggalah ke Alternatif moden telah menjadi koleksi penting dalam khazanah muzik.
Anehnya, lagu-lagu ini tidak datang dari ‘tangan-tangan’ seperti M. Nasir atau nama-nama komposer besar yang lain.
Sesungguhnya, semesta bergerak dengan cara yang sangat misterius dan telah menemukan beliau dengan komposer misteri, arwah JS Kevin. Mereka telah mebentuk ‘pair‘ yang mewujudkan sejumlah besar karya-karya muzikal menerusi XPDC kepada para peminat.
Berikut ialah 20 lagu-lagu ikonik nyanyian Mael XPDC yang pastinya pernah melekat di khayalak semua:
1. C.I.N.T.A – Lagu yang meledak kumpulan XPDC ke kancah seni dan menempa Mael sebagai vokalis rock dengan keunikan tersendiri.
https://youtu.be/NFhJUiuHdYU
2. Semangat Yang Hilang – Lagu ikonik dan terbesar XPDC. Lagu ini menjadi simbol aspirasi XPDC sebagai band rock dengan mesej-mesej berunsurkan biblikal perjuangan, kemanusiaan dan ketuhanan.
3. Nafisa – Lagu yang dikira paling epik dan dikatakan ‘melepasi paras kemakrifatan tertentu’. Alunan vokal Mael XPDC terbaik terkandung dalam lagu ini.
4. Titian Perjalanan– Lagu ikonik nyanyian Mael antara yang terbesar dan paling popular dalam katalog XPDC.
5. Hentian Ini -Lagu hits nyanyian Mael yang terus membina katalog XPDC.
https://youtu.be/KEsQfAdKXVE
6. CT Cinta Kenangan Silam – Lagu slow rock susulan C.I.N.T.A yang meneruskan khazanah XPDC.
https://youtu.be/ThlQEYrsHws
7. Hidup Bersama – Lagu asal-usul fusion Metal dengan pop yeh yeh, 60-an, satu genre yang dipelopori XPDC dan menjadi kegilaaan era penghujung 90-an.
8. Apa Nak Dikata – Lagu nyanyian Mael yang berunsur ‘sense of humor’ juga dengan genre fusion metal 60-an.
9. Bahalol – Lagu berat ikonik nyannyian Mael XPDC yang sarat dengan elemen satirikal dan humor.
10. Raja Kertas – Lagu berat ikonik XPDC yang menampilkan keunikan Mael dalam membawakan genre Thrash.
11. Selendang Merdeka – Lagu berat ikonik XPDC ala Metallica yang sering dibawakan di knosert XPDC.
12. Ntahapahapantah – Vokal Mael dalam lagu ala Rock & Roll yang juga sarat dengan elemen humor.
13. Senapang Patah – Lagu berat XPDC yang juga sering menjadi setlist konsert mereka.
14. Kita Peng Yu – Lagu ala Thrash yang sangat berat dikuasakan dengan vokal nyaring Mael.
15. Aku Masih Di Sini – Lagu balada nyanyian Mael XPDC yang ikonik dalam arus Alternatif.
16. Hijau Bumi Tuhan – Lagu berunsur ketuhanan dan kemanusiaan nyanyian Mael XPDC.
17. Lagu Dari Aku – Lagu balada nyanyian Mael XPDC antara yang ikonik dalam arus Alternatif.
https://youtu.be/YiHbeRFyBek
18. Kabus Semalam – Satu lagu ‘rare’ XPDC nyanyian Mael yang sedikit berbentuk pengaruh eksperimental-psychedelic.
19. Aku Dan Sesuatu – Satu lagu slow rock kapak dari album sulung ‘Darjah Satu’ yang sangat epik nyanyian Mael.
https://youtu.be/yNZL9HPzO-Q
20. Impian Seroja – Lagu balada XPDC nyanyian Mael paling rare dan kembali trending apabila mereka membawakan di konsert-konsert setelah sekian lama. Ia dianggap real germ dan lagu ‘cult’ di kalangan pengikut-pengikut setia XPDC.
https://youtu.be/FxzYmhrClU0
Demikianlah, 20 lagu paling ikonik nyanyian Mael bersama XPDC yang pasti terlintas di satelit pendengaran anda semua pada setiap penjuru masa yang tertentu.
Di sebalik lagu-lagu ini, kebanyakannya adalah hasil karya komposer JS Kevin dan semesta benar-benar telah menemukan kedua-dua insan ini untuk memberikan warisan khazanah muzikal dan kemanusiaan yang tidak ternilai.
Perlu diingat, apabila kita membicarakan tentang Mael, kita bercerita tentang seorang bintang Rock berskala besar. yang dari segi jajaran peminat, adalah setanding dengan Amy Search atau Awie Wings. Di kemuncak kegemilangan, album Mael bersama XPDC, ‘Brutal’ terjual sebanyak 350,000 unit secara fizikal (bukan strim digital sekarang)!
Seperti lagu-lagu hasil tangan JS Kevin, Mael XPDC membawa unsur-unsur ‘sempoi’ dan etestika jalanan yang menjadi asas keperibadian muzikal mereka.
Ini membawa kita kepada satu lagi asbab utama mengapa Mael XPDC adalah legenda rock ulung yang sebenar selain katalog lagu-lagunya.
Ia terletak pada satu karakter yang dimiliki beliau yang benar-benar lahir dari jiwa iaitu, kejujuran.
Mael adalah simbol satu sosok besar yang berupaya menyusur akar tanpa perlu berpura-pura dan kejujuran ini terpancar bukan sahaja dalam lagu tetapi dalam persembahan dan ‘lifestyle’ beliau.
Maka kejujuran di sini bermaksud tiada yang sintetik antara perasaan Mael dengan para pendengar, kesemuanya autentik, tulus dan sepenuh hati daripada Mael.
Penulis sering berkunjung ke konsert-konsert yang menampilkan Mael XPDC dan melihat sendiri bagaimana TIADA JURANG antara beliau dan peminat-peminat.
Ya, beliau hadir tanpa aura ‘Rock Star’ di hadapan peminat-peminat walaupun dia, kita dan semua orang tahu dia seorang ‘Rock Star’ besar – inilah tesis keikonan Mael XPDC yang tiada tolok bandingnya.
Ini juga punca kenapa XPDC antara band yang mempunyai lapisan (legion) pengikut-pengikut tersendiri kerana jalinan yang terpaut antara sesama mereka bukan sekadar ikatan peminat tetapi persaudaraan jalanan (‘street brotherhood’).
Cerita tentang XPDC ialah cerita tentang alam dan kehidupan dan Mael adalah ikon perlambangannya. Dia tahu dia membawakan karya-karya besar yang memberi impak pencerahan kepada dunia dan dia perlu ‘hidup’ dengan naratif kemanusiaan dan nilai realisme sebenar.
Mael XPDC telah pergi untuk selamanya tetapi, dengan katalog lagu-lagu dan legasi sebuah kejujuran, beliau akan tetap ‘hidup’ dan mekar dalam lipatan sejarah.
#ChivasAlexandria