
Tahun ini, di sebalik kegemilangan arena muzik negara yang telah berjaya menghimpunkan pelbagai festival dan konsert serta memberi ruang persembahan pada anak-anak seni, kita masih diganggu-gugat dengan gelombang kecaman dan persepsi awam yang ketara. Antaranya:
– Mimifly dikutuk kerana aksi berkemban dalam video muzik ‘Serumpun’ sedangkan ia adalah perkara normal dan tradisi perempuan Melayu dahulukala. Akibatnya Mimi terpaksa meminta maaf menjelang hari raya.
– Festival Hausboom yang menyokong pertumbuhan artis pemuzik tempatan telah diejek secara melulu oleh orang awam atas tuduhan ‘menggalakkan maksiat’.
– Di Johor, kuda kepang yang menjadi hiburan masa lapang sejak berzaman telah menerima tindakan melulu pihak negeri.
– Yang terkini, tentunya kumpulan Dolla yang dikecam kerana dikatakan ‘berpakaian terlalu seksi’ dalam video muzik terbaru ‘Question‘ sehingga pihak label mereka, Universal Malaysia terpaksa menurunkan kandungan daripada platform You Tube.
Pelecehan terhadap muzik dan aksi-aksi hiburan bukan perkara baharu. Sejak dekad 50-an, Elvis Presley telah dilabel ‘Devil’s musics‘ kerana dikatakan mempunyai unsur rebel dan menarik ramai gadis muda ke kancah hiburan manakala Beatles menjadi sasaran pihak institusi seperti Vatican dan gereja katolik.
Pada tahun 1985, kumpulan glam metal Twisted Sister terpaksa dihadapkan ke sidang pendengaran Senat Amerika kerana isu moral yang dibawa oleh Parents Music Resourxe Centre (PMRC) diketuai Tipper Gore.
Namun, ia tetap tidak dapat menghalang kemaraan muzik untuk terus berkembang sehingga melahirkan genre-genre dan aliran moden yang merentas bangsa, generasi dan benua. Sekiranya Elvis patah hati atau Beatles menggantung gitar setelah menerima pelbagai kutukan sosial, pastinya evolusi muzik yang kita kenali kini akan terhenti. Kita tidak akan mendengar aksi-aksi baharu terkini yang mengambil input daripada kegemilangan lampau. Oleh itu, para artis, budayawan dan karyawan tidak harus sewenang-wenangya tunduk kepada tuntutan kerana selagi hayat dikandung rezeki, kegetiran hari ini ialah kejayaan masa depan.
Korteks Penerimaan & Kelebihan Kuasa
Muzik ialah satu-satunya medium yang boleh menembusi korteks penerimaan manusia secara separa sedar tanpa paksaan. Dalam mekanisme otak, ada satu bahagian yang perlu ditembusi, disaring terlebih dahulu sebelum kita membuat keputusan samaada untuk menolak atau menerima dengan hati yang rela, jiwa yang redup. Sekiranya tidak, ia akan menjadi brainwash (pencucian otak) kerana melibatkan elemen paksaan dan tanpa sepenuh hati.
Bagi pihak institusi yang mempunyai kuasa dan autoriti tertentu terhadap populasi masyarakat, mereka akan berasa deformiti dan menganggap hiburan muzik sebagai ancaman terhadap kepentingan mereka. Phythagoras, sanitis-ahli falsafah Greek yamg mencipta sistem penalaan muzik (‘tuning’) berasaskan prinsip matematik sendiri pernah mengungkap, muzik mendekatkan diri dengan kekuasaan spiritual tertinggi dan adalah anugerah terhebat daripada Tuhan.
Di sinilah, bermula segala macam bentuk pelecehan, demonisasi terhadap artis atau penghibur kerana mereka dikatakan memiliki aura dan kuasa yang lebih besar untuk mempengaruhi orang ramai. Maka, inilah juga logik mengapa dalam era politik moden dari zaman Ronald Reagan, Bono U2, Arnold Schwarzenagger dan Volodymyr Zelenskyy (Ukraine), banyak ikon politik diambil dari kalangan penghibur (artis, penyanyi atau pelakon) serta mempunyai latarbelakang yang berkaitan. Oleh itu, bukan satu yang menghairankan jika artis-artis dalam segmen hiburan diangkat kerana ‘kelebihan kuasa’ yang dimiliki mereka berbanding ahli-ahli politik biasa.
Terma-Terma Politik Dan Slanga Nakal
Dalam laras politik, tindakbalas seperti ini digambarkan sebagai ‘reaksionari’ iaitu ketakutan dan penentangan terhadap sebarang bentuk elemen yang mengancam nilai-nilai tradisional dan kepercayaan status quo. Slanga-slanga nakal bagi menggambarkan reaksi pula antaranya seperti ‘sentap, menggelabah, melompat dan melatah’.
Terma-terma politik lain juga boleh dikaitkan antaranya ‘witch hunt‘ iaitu mengkambinghitamkan orang yang tidak bersalah untuk membentuk naratif popular umum demi mencapai matlamat tertentu.
Dalam konotasi yang lebih ekstrim, lazimnya ia juga dikaitkan antara bentuk strategi ‘cover-up’ yang digunapakai oleh pihak politikus. Membuka hal yang remeh untuk menutup pekung yang lebih besar seperti korupsi, penyalahgunaan kuasa dan salahlaku. Ada juga teorem keperluan ‘mencipta musuh’ untuk membentuk sokongan umum atas dasar sentimen (mania) dan bukan logik. Oleh itu tidak hairanlah jika suatu ketika dahulu di Malaysia sendiri, ‘Pakcik Paku‘ yang entah datang atau petik dari mana pernah dituduh menjalankan amalan minum darah kambing sambil mendengar Blek Metal.
‘Holier than thou‘ pula boleh diperistilahkan atas rentetan yang lazimnya teejadi apabila merasa diri lebih mulia berbanding orang lain.
Perkara-perkara sedemikian adalah agak dangkal untuk berlaku kerana dalam kerangka Malaysia Madani, keadilan sosial (social justice) adalah intipati yang dititikberatkan kepada rakyat. Ia juga menimbulkan fokal polemik bahawa industri muzik negara sukar mencapai standard yang lebih tinggi apatah lagi bersaing di peringkat antarabangsa kerana berhadapan dengan bermacam aneka ragam dan limitasi yang sentiasa merencat dan membantutkan eksistemtalisme seni. Mungkin juga keberadaan kumpulan seperti Dolla diperlukan di Malaysia untuk memacu muzik tempatan ke tahap lebih daripada sekadar lenggok-lenggung vokal Siti Nurhaliza atau rintih-jerit Ziana Haiza Zain.
Banyak stereitaip dan pelecehan yang terjadi kerana tanggapan umum bahawa penyanyi atau artis ialah ‘agen dosa’, sedangkan manusia secara lahiriahnya adalah pendosa namun tetap mempunyai ruang untuk memperbaiki diri.
Pertama-tamanya, Dolla ialah sebuah kumpulan berbilang kaum yang terdiri daripada 2 gadis Cina dan seorang Melayu.
Ia hanyalah sebuah koreografi K-Pop yang sangat lazim dan turut ditonton oleh pak-pak Arab di Riyadh, Oman dan Jeddah. Untuk meletakkan beban dosa kepada Dolla adalah sangat tidak munasabah dan kurang masuk logika kerana tiada orang yang akan keluar meletupkan bangunan atau menembak ke arah orang ramai hanya dengan melihat Sabronzo menari-nara secara visual.
Masalah yang timbul ialah mungkin hanya kerana terdapat seorang Sabariah di situ akibat stigma masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, reaksionari sebegitu juga pernah terjadi. Najib Razak semasa era Menteri Belia pernah bertempik ‘ada unsur syaitan dalam muzik Rock’ manakala Tun Mahathir pernah melabel ‘punk makan sampah’ semasa era emas Alternative 90-an. (Hanya PMX Anwar yamg belum mempunyai sebarang reaksi kerana beliau sendiri gemar berseloroh mengalunkan lagu-lagu P Ramlee di khayalak seperti ‘Azizah’ dan ‘Tunggu Sekejap’)
Diksi
Sekiranya diksi ini berpanjangan, adalah tidak mustahil semua khazanah lagu nyanyian wanita Melayu akan berkubur kerana dikatakan suara juga adalah aurat wanita.
Maka, segala perjuangan seniwati terdahulu seperti Sharifah Aini, Sanisah Huri, Rafeah Buang hanya sekadar menyebut nama akan menjadi sia-sia. Para penyanyi wanita ini mungkin tidak sedar bahawa dalam nyanyian lagu, mereka sebenarnya telah memberi ilham, inspirasi dan harapan kepada jutaan wanita serta membawa mesej pemerkasaan yang merentas patriaki dan genderisme.
Jadi sekiranya Shrifah Aini iaitu seorang wanita Melayu bersuara emas dari Johor Bahru telah ligat menyayikan ‘Kudaku Lari’ dengan susunan disco-funk ala Nile Rodgers sekitar 50 tahun lampau (1977) sambil menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya aksi hiburan wanita tempatan, apakah logik yang boleh kita kemukakan untuk menyekat atau tidak membenarkan mana-mana artis wanita terutama Melayu untuk terus mempertontonkan bakat dan kebolehan aestetik mereka kepada umum?
Ini penaakulan yang regresif kerana orang Melayu adalah bangsa paling reseptif dan mudah terpelajar dengan apa-apa arus muzik dari barat.
Sebagai contoh, di saat ketika Bon Jovi, Skid Row atau Poison mempeekenalkan glam rock di Los Angeles, orang Melayu adalah satu-satunya bangsa (selain orang putih) yang paling cepat mengadaptasi, aktif dan berbakat mengikut arus menerusi Rock Kapak sehingga kumpulan-kumpulan rock tumbuh ‘seperti cendawan lepas hujan’.
Sejarah tidak boleh diibutakan dan Rock Kapak kekal satu-satunya ‘hasil tangan’ muzikal bangsa Melayu yang paling original yang mana legasi lagu-lagunya kekal segar sehingga hari ini.
Dunia tanpa getaran adalah kegelapan, maka muzik adalah satu-satunya medium yang membawa cahaya dan memberi pencerahan kerana di dalam alunan, gerak tari dan raut melodinya, terdapat perkara yang menjadi dambaan fitrah setiap insan – impian, kegembiraan dan kemanusiaan.
#ChivasAlexandria

