Meraikan Hari Baharu Bersama Ix Chel

oleh Anome
294 bacaan

Setelah melancarkan sebuah album berjudul At War With Negligence sebelum wabak pandemik Covid-19 melanda, kugiran melodic pop-punk yang berasal dari Kajang, Ix Chel akhirnya mengumumkan pelancaran single terbaharu, Brand New Day yang telah dilancarkan pada tanggal 1 Julai 2022 dengan jangka masa selama 3 minit 16 saat di platform penstriman Spotify dan YouTube rasmi Ix Chel.

Ilham Brand New Day muncul di pertengahan tahun 2021 sewaktu seluruh negara dilanda Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dengan semangat luluh, hampir semuanya diurung kerisauan dan tekanan, kugiran ini merasakan mereka harus melawan perasaan negatif yang mula menyemai di dalam diri melalui muzik mereka.

Bermula dengan kord dan melodi yang ditulis oleh Galang Bimandiri (gitar bass), Ix Chel kemudiannya mulai berkerjasama dalam mencipta mesej kepada dunia secara berperingkat. Pada titik tersebut, kugiran ini mulai merasakan ketabahan dalam mengharungi setiap halangan yang wujud di hadapan mereka bersama-sama dan sentiasa kekal positif.

Positif. Itulah nadi utama terhadap mesej yang cuba Ix Chel sampaikan kepada dunia. Bagi memberikan keunikan pada lirik yang ditulis, kugiran ini menambah rencah-rencah kata yang berkaitan dengan pengembaraan dan kebebasan bergerak yang dunia dan kugiran tersebut rindukan pada ketika itu. Secara ringkasnya, Brand New Day tercipta melalui pelbagai dugaan dan halangan yang wujud ketika pandemik, tetapi diselubungkan liriknya agar para pendengar dapat menafsirkan mesej mereka mengikaut kefahaman dan kaitan peribadi para pendengar sendiri.

Ana (gitaris/vokalis) yang mempunyai sedikit pengalaman bersama kugiran metal 66 Roads sebelumnya, mengambil keputsan untuk merehatkan diri dari arena muzik tempatan dengan membawa diri ke Jakarta untuk mencari pengalaman diri di sana. Beliau kini kembali ke Malaysia dengan azam dan semangat yang baharu dalam penulisan muziknya.

Bersama-sama Galang dan Aizad (dram), mereka bertiga kini berjaya menyiapkan sebuah album dan bakal dilancarkan khas buat para pendengar menjelang hujung tahun ini.

Trio pop punk ini menunjukkan tanda-tanda sebuah kugiran hebat yang tahu untuk berseronok, bergembira di atas pentas bersama pendengar dengan lirik mereka yang penuh makna. Ix Chel pastinya sebuah kugiran yang anda perlu perhatikan.

Dengarkan Brand New Day di platform penstriman Spotify rasmi Ix Chel, serta ikuti laman media sosial mereka untuk informasi terkini mengenai album terbaharu yang bakal terbit tidak lama lagi.

Instagram

Spotify

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati