Kadang-kala, mimpi boleh jadi kenyataan. Begitulah yang sedang berlaku sekarang apabila band perintis power metal, Helloween meluncur single baharu mereka, Skyfall pada 2 April 2021 bersekali dengan video muzik (MV) epik tentang alien dan angkasa lepas!
Air mata peminat setia band ini pertama kali gugur pada tahun 2016 setelah mereka mengumumkan siri jelajah dunia Pumpkins United dengan gitaris dan vokalis asal, Kai Hansen serta suara paling ikonik power metal, Michael Kiske turut sama menyertai jelajah 32 negara tersebut. Apa yang lebih manis adalah, barisan tujuh pemuzik legenda ini turut singgah ke Malaysia pada 28 April 2018! Mungkin ramai yang masih mengenang kenangan paling manis tersebut sehingga ke hari ini.
Bukan itu sahaja, peminat-peminat turut dihadiahkan dengan single Pumpkins United yang menjadi testamen sinergi setiap anggota tidak kira lama dan baharu. Ia adalah sebuah trek epik berdurasi enam minit yang merangkumi perjalanan Helloween sejak awal sehingga kini. Ini juga merupakan kali pertama peminat Helloween menikmati paduan suara tiga penyanyi utama mereka untuk tiga era dalam satu lagu!
Tamat jelajah Pumpkins United, majoriti peminat mula merindui kelibat labu-labu nakal ini. Majoriti mereka amat berharap barisan ini kekal dan melakukan satu lagi siri jelajah dan album baharu. Dengan tidak disangka-sangka, mimpi basah mereka termakbul apabila pada Helloween secara rasmi mengumumkan bahawa mereka dalam proses rakaman album terbaharu pada bulan Disember 2019! Jika bukan kerana pandemik, sudah pasti album ini dapat dilancarkan pada tahun lepas berserta dengan siri jelajah Pumpkins United Part 2.
Setelah melalui tahun yang sukar, mereka akhirnya mempunyai tarikh rasmi untuk pelancaran album ini iaitu pada 18 Jun 2021. Sebagai penghargaan kepada peminat dan bekas pemain dram Ingo Schwichtenberg (RIP), mereka sepakat merakam keseluruhan album dengan konsol analog yang pernah digunakan untuk album-album Master Of The Rings, Time Of The Oath dan Better Than Raw manakala Dani Löble (pemain dram) pula menggunakan kit drum milik Ingo yang telah ‘dibelasah’ dalam album Keeper of the 7 Keys Part 1 dan 2.
Berbalik kepada single Skyfall, versi radio edit ini berdurasi 7 minit 21 saat dan ditulis secara solo oleh Kai Hansen, berbeza dengan versi album yang berdurasi lebih 12 minit. Dengar cerita, dah ada yang dengar versi ‘bocor’ dan lebih suka versi asal sebab banyak bahagian dibuang untuk radio edit ni.
Untuk MV pula, ia diterbitkan oleh Martin Häusler dan merupakan MV paling mahal dan berwawasan dalam sejarah Helloween. Uniknya, walaupun julat umur anggota Helloween adalah di antara 44 hingga 58 tahun dan muzik mereka sangat metal, tetapi perwatakan mereka tidak menggambarkan langsung unit ini sudah tua dan perlu serius setiap masa. Ini digambarkan sendiri melalui MV yang sangat moden, futuristik dan sesuai dengan semangat zaman. Helloween masih seperti dahulu, riang-ria dan perkara paling matang yang pernah mereka lakukan adalah melupakan semua ego dan bergabung semula demi mencipta legasi baharu.
Mengisahkan tentang alien yang mendarat di bumi dan pertarungan angkasa antara Kiske, Deris dan Hansen, animasi 3D ini memberi pengalaman sinematik terunggul kepada peminat yang dahagakan seni audio-visual! Ya, walaupun agak kelakar dan mengarut di beberapa tempat seperti kapal angkasa berbentuk gitar Flying-V dan Deris mengenakan suit ala Iron Man yang berpotensi disaman Marvel Studio, ia memberi gambaran evolusi band ini ke fasa baharu dan mungkin juga ia adalah konsep untuk album penuh yang akan keluar nanti.
Dari sudut muzikal, penulis ada beberapa persoalan sebenarnya. Pertama, hasil akhir lagu ini tidak berbunyi analog langsung walaupun dirakam penuh dengan konsol analog. Mungkin kerana proses adunan dijalankan secara digital?
Kedua, agak pelik bila memikirkan bagaimana struktur lagu ini tidak seepik karya-karya agung mereka seperti Keeper of the Seven Keys, Halloween, Eagle Fly Free, Dr. Stein dan banyak lagi. Malah, penulis sebenarnya lebih menyukai Pumpkins United berbanding single baharu ini. Dengarkan bahagian korusnya yang seperti mengulang kembali formula Eagle Fly Free dan kurangnya idea untuk mempelbagaikan segmen. Adakah ini impak potongan lima minit daripada versi asal?
Apa pun, penulis sangat berharap trek-trek lain akan lebih hebat berbanding Skyfall dan mampu menggugurkan segala bulu yang ada di badan. Haha! Paling mengancam dalam lagu ini adalah garis bass Grosskopf yang meledak-ledak. Beliau yang bermain untuk semua album Helloween dari awal memang dikenali dengan permainan yang teknikal dan berbunga-bunga.
Penulis menggelar barisan Pumpkins United ini sebagai Super-Helloween kerana gabungan semula ini penulis rasakan lebih bersejarah daripada kembalinya Adrian Smith dan Bruce Dickinson ke sisi Iron Maiden pada tahun 1999. Semoga mereka terus kekal dan menggegar dunia metal untuk kelestarian power metal!
Senarai lagu album Helloween:
01. “Out for the Glory”
02. “Fear of the Fallen”
03. “Best Time”
04. “Mass Pollution”
05. “Angels”
06. “Rise Without Chains”
07. “Indestructible”
08. “Robot King”
09. “Cyanide”
10. “Down in the Dumps”
11. “Orbit”
12. “Skyfall”
Dalam perkembangan lain, Helloween juga telah mengumumkan siri jelajah United Forces 2022 bersama Hammerfall bermula bulan Mac tahun hadapan. Dah boleh beli tiket sekarang!