Rapper ikonik tanahair, Altimet telah mengambil langkah padu dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam majlis ‘Temu Anwar’ di Hotel Flamingo, Ampang KL semalam. Turut bersama menyertai ialah artis-komedian kesukaan ramai Afdlin Shauki.
Penglibatan artis dan rapper dalam politik dan parti-parti pembangkang di Malaysia seperti PKR dan DAP bukanlah perkara baru.
Pada tahun 2013, bekas penyanyi popular 80-an Dayangku Intan (‘Kita Insan Biasa’ duet Jay Jay) telah bertanding di parlimen Pengerang, Johor semasa pilihanraya umum melawan menteri Dr Azalina Othman ketika itu, tetapi tewas. Manakala ADUN Dusun Tua (Hulu Langat, Selangor) sekarang dari parti DAP, saudara Edry Faizal ialah juga bekas seorang rapper underground dan ahli kumpulan 5Forty2 dengan nama samaran Orfeus.
Jaguh Marhaen (Anwar Setim Lagu ‘Amboi’)
Umum mengetahui Altimet seorang yang berjiwa patriotik dan lagu-lagu beliau banyak menyentuh isu-isu semasa di samping kritikan sosial. Namun, keputusan Altimet semalam adalah anjakan paradigma bagi karier seorang artis rap yang telah mencapai kemuncaknya. Jadi, pada usia 42 tahun, Altimet telah mula berfikir bukan lagi sebagai ‘artis’ semata-mata, tetapi pemikir dan intelektual yang menyumbang kepada kebaikan negara dan masyarakat. Tambahan pula, keluarga dan ibu Altimet sendiri ialah ahli aktif PKR Selangor.
Dalam majlis semalam, beliau telah ditanya oleh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim tentang mengapa beliau yang sudah selesa dengan peminat yang ramai dan legasi lagu-lagu hebat mengambil keputusan untuk bersama PKR.
Altimet memberitahu, ‘What kind of Malaysia I Want To Leave to My Children‘.
Aku dulu sebelum kahwin memang ‘selfish’… semua artis macam aku ‘selfish’. Buat lagu untuk kepuasan diri, kalau orang suka, suka lah… Takde hal. Tapi, apabila telah berkahwin dan mempunyai anak, aq mula melihat dunia yang jauh lebih besar. Jadi aku berfikir, aku perlu mewariskan negara Malaysia yang lebih baik demi masa depan keluarga dan anak aku….’
Terdahulu, Anwar Ibrahim menyatakan beliau amat sukakan lagu ‘Amboi’ yang dirasakannya satu karya Rap yang ulung. Selain ‘Amboi’, Anwar juga meminati katalog lagu-lagu Altimet lain seperti ‘Negaraku’, ‘Mambang’, ‘Kotarayaku’ (Noh Salleh) dan ‘Pendekar Pena’ (Zizi Kirana).
Oleh itu, motif Altimet ialah seperti kebanyakan rakyat yang bergelut dengan ‘keresahan’ semasa, beliau mahukan negara yang lebih baik untuk diwariskan kepada anak-anak dan generasi masa depan.
Persoalannya, adakah kita perlu memboikot Altimet hanya kerana beliau menceburi politik untuk bersama parti pembangkang? Sebagai rapper Malaya No. 1, Altimet boleh sahaja bersama kerajaan sekarang dan dilimpahi berbagai-bagai ‘habuan’ tetapi jelas bukan itu yang dimahukan.
Tradisi politik juga adalah tidak asing lagi dalam rap/ hip-hop. Daripada pemberontakan kaum kulit hitam dan hak-hak asasi, banyak rapper antarabangsa yang turut bergiat aktif dalam politik, ini jelas menunjukkan muzik ini bukan sekadar menempel sample-sample murahan dan berlagak ‘Jago’. Antaranya:
1) Mos Def – Rapper muslim yang juga aktivis kebebasan dan anti-kekejaman polis
2) Wyclef Jean – Ahli kumpulan Fugees yang pernah bertanding presiden Haiti.
3) Chuck D – Lagenda Public Enemy yang anti-Donald Trump
4) 2Chainz – Pernah bersuara untuk menjadi Gabenor bagi mempercepatkan legalisasi marijuana.
5) Kanye West – Jago rapper yang juga pernah membuat gempar kerana berhasrat bertanding Presiden Amerika.
Barangkali lagu terbaru Altimet ‘Dirgahayu’ benar-benar membawa erti perjuangan dalam wadah terkini – ‘Kalau Nampak Si Kitol, Lengan Baju Disinsing’.
Apapun, tidak kira apa landasan politik, para peminat perlu menyokong tindakan artis kesukaan mereka sekiranya ia membawa kepada kebaikan. Ikon-ikon muzik seperti Altimet mampu membawa perubahan yang dicitakan kepada negara demi kesejahteraan rakyat, dan bukan kerana mengejar kuasa semata-mata.
#ChivasAlexandria