Setelah 3 tahun menanti, kugiran Hayley’s Komet (Hayko) muncul dengan single perdana mereka berjudul “Nota (1969)”. Kugiran ini ditubuhkan pada hujung tahun 2019 dan dianggotai oleh Aniq sebagai vokalis dan gitaris, Imran sebagai pemain bass, Adam dan Musa sebagai pemain gitar utama dan kedua serta Ehsan sebagai pemain dram.
“Nota (1969)” diterjemahkan sebagai cerita di masa lalu iaitu kisah kehidupan peribadi. Lagu dan lirik dicipta oleh Aniq manakalah komposisinya ditulis oleh semua ahli Hayko.
“Aku tulis lagu ini ketika aku berumur 19 tahun dan ketika itu aku dalam keadaan buntu memilih jalan hidup. Dalam masa yang sama, aku diberi pelbagai dugaan ketika di UiTM Segamat seperti aku gagal dalam subjek Kalkulus, aku dipulaukan oleh beberapa orang dan paling tak boleh tahan, orang tak suka aku sebab aku dikatakan membawa benda yang negatif dan konon-kononnya aku kecah. Dan itu semua menyebabkan aku berdendam hingga satu malam tu aku menangis kerana memikirkan isu bodoh ini. Hasilnya aku dapat menulis sebuah lagu dan aku simpan dalam arkib pada 2014 sehingga Hayko ditubuhkan pada tahun 2019.”
“Nota (1969) ni mudah sahaja. Aku ingin berkongsi rasa bersama manusia yang tersakiti ni supaya jangan berdendam, buang perkara yang lepas dan teruskan hidup. Mereka ni tak bagi kau duit pun dan yang paling penting kau kena kembali kepada yang Esa agar Dia boleh bantu kau. Alhamdulillah sehingga kini, dendam yang aku simpan terhadap insan yang bertuah ini telah dihapuskan dan hidupku menjadi lebih tenang.”
Menyambung bicara, pembikinan dan proses produksi single ini memakan masa selama 6 bulan secara hibrid di mana kesemua anggota merekodkan single ini di rumah. Untuk rakaman dram dilakukan di Studio Kashfy Wangsa maju dan untuk rakaman vokal, adunan dan mastering dilakukan oleh saudara Ardy Hamdan dari NuBreax Studio.
“Harapan kami agar single ini bakal meraih tumpuan peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni saya,” ujar Aniq.
Ikuti Hayley’s Komet di: