‘Power Grab’ – Kolaborasi Antarabangsa Pertama Brandon Gomez

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.3K bacaan

 

Masihkah anda ingat dengan Brandon Gomez? Gitaris dan vokalis Massacre Conspirasy ini telah kembali dengan sebuah single kolaborasi bersama Cristian Machado bertajuk Power Grab pada 28 November 2022 di semua platform strim digital.

Sebelum ini, Brandon telah melancarkan EP Entropy pada 21 November 2021 dan selepas setahun, beliau meneruskan momentum dengan single terbaru dan juga kolaborasi bersama vokalis Lions At The Gate dan bekas vokalis Ill Nino. Buat pengetahuan semua, Brandon merupakan seorang peminat Ill Nino sejak berumur 15 tahun. Dengan menggunakan teknologi yang sedia ada, beliau dapat menghubungi Cristian Machado dan Cristian sendiri sangat teruja untuk menjalin kerjasama dalam pembikinan single ini.

Menurut Brandon, keseluruhan proses rakaman mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan disebabkan faktor jarak mereka berdua dan komunikasi mereka hanya melalui panggilan telefon & e-mel. 

Untuk proses menulis, saya terfikir untuk menulis sesuatu yang berat dengan korus yang menarik di mana pendekatannya agak berbeza daripada menulis album Massacre Conspiracy yang akan datang. Apa yang saya fikirkan ketika itu hanya mahu menulis riff dan selepas itu, semuanya menjadi sejarah.

Menurut Brandon lagi, tajuk Power Grab ini telah dicadangkan oleh Cristian Machado sendiri di mana ia menceritakan tentang pemerolehan kuasa oleh seseorang atau kumpulan secara umumnya kita boleh melihat dari sudut politik atau dalam mana-mana masyarakat.

Ketika penulis mendengar single ini, penulis tertarik dengan gitar riff yang Brandon bawakan iaitu easy listening, tidak terlalu berat dan bukan tipikal metalcore/heavy metal yang kita sering dengar. Tambahan pula, lagu ini mengingatkan penulis kepada beberapa band seperti Killswitch Engage, Breaking Benjamin dan Bullet for My Valentine. Penulis juga menggemari lontaran vokal yang disampaikan oleh Cristian. Sungguh bermelodik ditambah pula dengan irama amarah beliau yang sesuai dengan arah tuju single ini. 

Untuk kualiti, penulis berpuas hati dengan hasil adunan dan mastering. Bak kata orang, garam gula dia cukup. Menurut Brandon, beliau telah bekerjasama dengan saudara Nash Muhandes dari The Band Shop dari awal hingga ke akhir. Setiap proses telah dilakukan oleh Brandon dengan sangat teliti bagi memastikan mesej lagu ini sampai ke telinga dan hati pendengar muzik keras.

Akan tetapi, kekurangan dalam single ini hanya satu perkara iaitu elemen synthesiser. Mungkin tampak tidak logik, penulis merasakan single ini boleh ditambah baik dengan sentuhan ambience yang menjadikan penambah rasa dalam masa yang sama selari dengan peredaran muzik metal di dunia.

Konklusinya, Power Grab memberi nafas baharu dalam industri Metal di Malaysia. Kesemua elemen yang dipersembahkan cukup sifat dan penulis pasti Brandon Gomez mampu menjadi seorang gitaris yang tersohor di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Dengan kolaborasi pertama ini, beliau juga sedang dalam usaha untuk berkolaborasi dengan beberapa vokalis metal di Malaysia sejurus album Massacre Conspiracy siap.

Tahniah buat Brandon atas pelancaran single ini. Semoga single ini mampu memberi impak yang seharusnya buat semua pendengar di Malaysia mahupun di luar Malaysia.

Ikuti perkembangan Brandon Gomez di

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅