Outro Luah Isi Hati Dalam ‘Seniman Sambilan’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
2.3K bacaan

Kugiran Rock Alternatif, Outro telah melancarkan EP mereka yang ketiga iaitu Agenda di Spotify pada bulan yang lalu.

Menerusi Agenda, penulis difahamkan bahawa rilisan terkini yang dihasilkan trio dianggotai oleh Jimmy (vokalis), Hafiz (gitaris) dan Shahrul (Bassist) ini mengandungi lima lagu yang terdiri daripada dua lagu Bahasa Melayu dan tiga lagu Bahasa Inggeris. Sebelum ini juga, mereka mempunyai dua lagi EP yang diluncur pada tahun sama iaitu Prologue dan Pendahuluan. Bukan itu sahaja, mereka juga sempat membuat kemunculan pada Pesta Ke’Chill Rantai pada 30 dan 31 Oktober yang lalu.

Cukuplah bercerita tentang mereka, penulis ingin meneruskan ‘agenda’ dengan memberi perhatian pada single mereka iaitu Seniman Sambilan.

Ditulis oleh gitaris mereka iaitu Hafiz, lagu ini menceritakan tentang perjuangan anak seni di mana mereka mempunyai karya kreatif namun tidak dihargai disebabkan oleh perubahan zaman dan daya kreativiti tidak lagi diberikan perhatian, tambahan pula karya luar lebih mendapat penghormatan. Menurut mereka lagi, media pada zaman kini lebih merujuk kepada populariti media sosial dan publisiti seseorang berbanding karya seni yang dihasilkan untuk diketengahkan. Jika dahulu media hanyalah medium bagi membantu karya seniman untuk disebarkan namun hari ini populariti seseorang diperlukan untuk membantu media dan karya yang baik telah jauh dipulaukan. Selain itu, Seniman Sambilan yang dimaksudkan sesuai dengan keadaan semasa hari ini di mana pemuzik tidak hanya berkarya untuk menampung hidup namun terpaksa juga bekerja di bidang yang bukan kemahiran mereka dan hanya bermain muzik pada hujung minggu.

Menerusi bedah siasat penulis, sejujurnya Seniman Sambilan mempunyai aura yang tersendiri bukan sahaja pada lirik mereka malah susunan lagu ini juga memberikan sebuah nostalgia yang mengingatkan penulis pada zaman kanak-kanak. Entah mengapa, melodi yang ditonjolkan sangat dekat dengan penulis dan lagu ini telah memberikan impak yang baik tambahan pula lontaran vokal yang dipersembahkan mantap sekali. Kualiti pula sekata dan tidak mengecewakan meskipun mereka cuma mengerjakan keseluruhan rakaman dari rumah.  Cuma penulis harap untuk produk yang akan datang, hantarkan kepada studio rakaman yang bagus agar dapat melaksanakan adunan dan mastering dengan lebih baik. Permainan instrumen pula tidak mempunyai masalah dan penulis menyukai bunyi synthesizer yang ditampilkan sepanjang lagu ini berlangsung.

Menurut Jimmy, mereka ini bukanlah mempunyai minat yang sama dalam genre muzik kerana masing-masing mempunyai minat yang tersendiri namun disebabkan kelainan itulah yang menggubah corak muzik Outro. Penulis juga diberitahu bahawa mereka kini dalam proses untuk menghasilkan album dan tujuan mereka mengeluarkan tiga EP sebelum ini ialah untuk mencari apa yang peminat muzik inginkan serta mencari cap mohor mereka sendiri yang segar.

Pendapat penulis, single Seniman Sambilan ini wajar mendapat perhatian daripada kita semua kerana produk ini mampu pergi jauh dan seterusnya menjadi siulan masyarakat di zaman kini. Dan buat para penganjur acara pula, penulis mengharapkan kalian dapat memanggil Outro untuk membuat persembahan kerana mereka sememangnya permata baru yang harus digarap untuk menjadi sebuah kugiran yang disegani ramai.

Tahniah atas pelancaran EP dan single Seniman Sambilan. Penulis mendoakan kesejahteraan kalian dunia akhirat dan jangan berhenti bermuzik. Teruskan perjuangan dan peluang itu akan muncul tanpa diduga. Adios!

Ikuti Outro di:

Facebook

Instagram

Linktree

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅