Pablo! Ingin Luaskan Empayar

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.8K bacaan

Salam Ramadhan diucapkan kepada semua. Kali ini, penulis mendapat email dari sebuah band yang datang dari Sarawak, Bumi Kenyalang diberi nama Pablo!

Pablo! merupakan sebuah kugiran yang berlandaskan Power Pop Punk dan Alternatif dari Bintulu, Sarawak. Terdiri dari 5 anak muda iaitu Zai (Vokal, Gitar Kedua), Mirol (Vokal, Gitar Ketiga), Morni (Vokal, Bass), Zul (Gitar), dan Ujin (Dram). Kesemuanya merupakan sahabat karib yang gemar bermain muzik secara langsung di sekitar Bintulu.

Bercakap tentang pengaruh muzik, mereka dipengaruhi oleh pelbagai band seperti Bunkface, Hacktick!, Half-Asleep, NOFX dan yang sewaktu dengannya. Pada asalnya, mereka memulakan penulisan lagu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan dikembangkan menjadi lagu yang baik dan sesuai dengan garis panduan Pablo!

Selepas beberapa perbincangan, mereka memutuskan untuk mengeluarkan demo, yang terdiri dari 6 lagu yang berjudul HELLO MR PABLO!. Mendapat maklum balas positif dari pendengar tempatan, mereka nekad untuk melangkah lebih jauh dengan menambah 2 lagu daripada demo asal dan akhirnya terhasillah sebuah EP berjudul PABLO !: THE EXTENDED PLAY.

Semasa proses menyiapkan EP, mereka merancang untuk mempersembahkan EP dengan sebuah single yang kuat dan akhirnya cuba mendekati Sam Bunkface untuk bekerjasama. Ternyata respon yang diterima sangat baik dan Sam sangat gembira dapat membantu. Mereka mula menulis lagu pada bulan Disember 2020 dan semasa proses produksi, Sam tidak malu-malu untuk berkongsi buah fikiran dan pengetahuannya mengenai kemahiran menulis lagu dan terhasillah naskah kolaborasi berjudul Mereka Dan Kita. Lagu ini dirilis di platform muzik dalam talian pada Januari 2021 dan mereka mendapat lebih banyak maklum balas positif dari pendengar.

Setelah penulis melakukan bedah siasat secara terperinci, EP mereka ini merupakan permulaan yang baik namun dari sudut kualiti, penulis inginkan mereka bergerak lebih jauh lagi kerana mutu adunan dan mastering mereka masih mendap dan perlu dikembangkan lagi dalam usaha untuk menghasilkan sebuah produk akhir yang baik. Akan tetapi, jika mempunyai dana yang secukupnya penulis sarankan mereka untuk menghantar material mereka kepada studio yang lebih professional untuk bunyi yang mantap dan gebu seperti kebab pita yang dijual di Bazaar Ramadhan.

Tahniah buat Pablo! atas pelancaran EP dan single mereka bersama Sam Bunkface. Penulis mendoakan kalian akan maju ke hadapan dan dapat melihat persembahan Pablo! satu hari nanti. Adios!!

Ikuti Pablo! di:

Facebook

Twitter

Youtube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅