Twoseventeen Luncur Buah Tangan Istimewa Sempena Bulan Mulia

oleh Rahmat Mohd Did
1K bacaan

Karyawan-karyawan independen Malaysia tidak pernah kontang idea, walau diasak dengan dugaan sebesar pandemik. Hari demi hari, semakin banyak band baharu muncul dan menghasilkan naskah-naskah berbisa untuk halwa telinga peminat muzik yang menghargai.


Akibat terlalu memberi perhatian kepada skena pantai barat dan selatan tanah air, skena dari utara jarang-jarang diberi perhatian. Namun baru-baru ini mereka berjaya membuat ‘bising’ dengan menganjurkan gig Ruang & Kita yang berlangsung di Sungai Petani, Kedah mengumpulkan pelbagai rencam band dari baharu sehinggalah yang lama. Salah satu band yang menarik perhatian adalah Twoseventeen, dengan jenama alternative rock mereka yang segar dan menusuk kalbu.

Twoseventeen di gig Ruang & Kita.

Ditubuhkan pada tahun 2017 di Sungai Petani, Twoseventeen mengambil inspirasi tahun tersebut juga sebagai nama rasmi mereka. Setakat ini, sudah tiga single yang dikeluarkan mereka dan yang terbaru adalah Bila Lagi yang secara rasmi berkumandang di saluran YouTube mereka pada 13 April 2021.


Ini bukanlah kali pertama lagu Twoseventeen mendapat tempat di Music Addicts Malaysia. Dua lagu mereka sebelum ini, Kembalikan dan Bersama Selamanya juga pernah diketengahkan dan mendapat reaksi positif daripada peminat-peminat muzik tempatan.

Melalui Bila Lagi, Twoseventeen cuba membawa peminat mendekati sang pencipta bersempena bulan Ramadhan dengan lirik bersandarkan keinsafan dan puji-pujian kepada yang maha Esa. Bait-bait lirik seperti di bawah memberi kesan yang jitu ke dalam sanubari.

Ku relakan cinta ini mekar, di taman hati yang sunyi // Meniti hari yang kau janji, di taman ini, yang suci // Bertapa peritnya hati menantikan sinar mentari // Terbukti nanti, kau mengerti, aku berjanji…

Bukan itu sahaja, mereka turut menambah perisa ke dalam lagu dengan sebuah rangkap rap yang indah:

Terbuka minda, merekah jiwa // tiada ku sangka, ada merana // Astaghfirullah, dengan nama Allah, maha kuasa, Alhamdulillah…


Dari sudut kualiti bunyi, Bila Lagi melangkah setapak ke hadapan dengan mendapatkan khidmat Ucop dari Kamar Seni Studio untuk proses adunan dan mastering. Hasilnya agak berbeza berbanding Bersama Selamanya yang sepenuhnya dirakam dan diadun di Sangkar Sound Studio. Penulis juga rasa ia lebih baik berbanding Kembalikan yang mendapat khidmat JD Wong di Studio 21:05. Setiap instrumen kedengaran sangat seimbang dan secara keseluruhan lebih besar dan ‘garing.’ Susunan lagu juga mendapat suntikan baharu kali ini dan terlihat kesungguhan mereka untuk pergi lebih jauh. Ia lebih mesra pendengar dan mungkin…radio?

Bercakap tentang radio, desas desus yang kami terima mengenai Twoseventeen adalah mereka sedang dirisik oleh beberapa major label di Malaysia. Namun begitu, bila soalan ini diajukan kepada Fik (selaku ketua kumpulan), beliau enggan mengulas lanjut kerana mereka masih meneliti keputusan memilih label yang menepati citarasa mereka secara bersama.

Keputusan tersebut harus datang daripada semua ahli kumpulan. Saya sendiri tidak boleh membuat keputusan semberono kerana setiap terma dan syarat perlu diteliti terlebih dahulu, ujar beliau.

Sebelum tu, apabila ditanya mengenai perancangan mereka seterusnya, Fik ada menyatakan bahawa mereka akan merakam single baharu yang juga bakal menjadi lagu pertaruhan dalam EP mereka kelak bersekali dengan video muzik dan dijangka dirasmikan pada bulan Mei ini jika tiada aral melintang. Sangat produktif!

Bagi yang ingin mendapatkan merchandise Twoseventeen, harapnya dapat bersabar sedikit masa lagi kerana ia akan dilancarkan serentak bersama pelancaran EP pertama mereka nanti.


Secara kesimpulan, Twoseventeen adalah band rock moden yang baik dan harus diberi perhatian sewajarnya. Jika anda peminat gelombang rock dan nu metal awal 2000an, band ini membawa zeitgeist zaman tersebut dengan cemerlang. Harapan kami agar mereka diberi peluang di sirikit-sirkit gig dan festival tempatan agar bakat mereka dapat terus dikenalpasti. Tahniah atas pelancaran single terbaharu ini dan semoga pelayaran Twoseventeen terus teguh melawan segala ombak!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅