Pop Yeh Yeh: Psychedelic Rock From Singapore And Malaysia 1964-1970 Vol. 1 merupakan sebuah rilisan terhad yang pada asalnya dirilis dalam format CD pada 2013, dan pertama kali dalam format vinyl 19 April 2014.
Sehingga hari ini, dan tidak pasti kenapa, muzik rock psikedelik Malaysia dan Singapura tidak pernah diberi perhatian dunia. Kompilasi ini adalah satu-satunya kompilasi yang fokus kepada muzik psikedelik di rantau ini.
Era Pop Yeh Yeh, sekitar tahun 1964-1970 berlaku ketika zaman dua negara ini menuju ke arah kemodenan. Artis Pop Yeh Yeh ketika itu secara semula jadi mencipta bunyi-bunyian elektrik (gitar) ala barat dengan melodi Melayu, dan menambah suara puisi tempatan dengan lirik yang mereka tulis.
Tambahan lagi, majoriti lagu dinyanyikan dalam bahasa Melayu (ada juga bahasa Bawean). Mereka mula mengikut rentak muzik artis barat seperti The Beatles dan Cliff Richard, tetapi mereka berjaya menghasilkan bunyian mereka sendiri serta menjaga keperibadian Melayu itu sendiri.
Carl Hamm yang merasakan beliau bertanggungjawab membawa muzik Melayu ini ke rantau yang lebih luas seperti USA, UK, Eropah atau di mana saja dalam dunia ini, dan mula mencari material, termasuk lagu, artis, band, gambar dan apa saja untuk dikumpul dan dimasukkan ke dalam kompilasi ini.
Hampir lapan tahun Carl Hamm membuat kajian dan pencarian, akhirnya beliau berjaya mengumpul 26 lagu, artis dan band yang berkualiti di rantau Malaysia dan Singapura. Siapakah artis-artis ini? Mereka di antaranya adalah M. Osman, Orkes Nirwana, Adnan Othman, A. Halim, Roziah Latiff and the Jayhawkers, J. Sham, Hasnah Haron, Zaleha Hamid dan ramai lagi.
Edisi CD didatangkan dengan tri-fold digipak dengan hasil seni yang menarik, dengan 40 muka surat booklet dengan nota yang terperinci termasuk biodata artis/band, gambar-gambar di era kegemilangan Pop Yeh Yeh, lirik lagu asal dan yang diubah kepada bahasa Inggeris, gambar-gambar langka yang dikutip dari majalah-majalah lama, kulit album/EP, termasuk koleksi peribadi artis/band itu sendiri. Adakah kita terlupa muzik kita sendiri? Tepuk dada tanya selera.
#AzamGilmour#MusicAddictsMalaysia#MAMY#AnniversaryAlbum #PopYehYeh #CarlHamm