Perhiasan Kesayangan yang Menggamit Jiwa

oleh Aniq Ammar Ekhwan
2.5K bacaan

Ali Idris & Para Penonton

Tajuk Single : Perhiasan Kesayangan

Tarikh Pelancaran : 16 Januari 2021

Kebelakangan ini, penulis sering mendengar lagu yang menceritakan tentang putus cinta, kesedihan dan emo. Di kala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini, penulis diberi sebuah ‘penawar’ yang mampu mengukir senyuman di saat cinta ditolak. Jika sebelum ini penulis telah mendengar single pertama beliau iaitu Menambat Hatimu, kali ini penulis dihidangkan pula dengan sebuah single terbaru dari Ali Idris dan Para Penonton iaitu Perhiasan Kesayangan yang merupakan kesinambungan daripada single sebelum ini.

Menerusi perbualan telefon bersama Ali Idris, beliau menyatakan bahawa tajuk Perhiasan Kesayangan pada dasarnya adalah sebuah nama seseorang yang diterjemahkan dari bahasa arab. Tetapi boleh juga diertikan sebagai seseorang yang hanya mampu dilihat dari jauh tanpa dimiliki. Penulis hanya mampu berkata “Wow” seperti Hussain Lempoyang dalam Filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P. Ramlee.

Menjadikan Raja Nazrin Shah dan Raja Nazmin Shah sebagai penerbit, semestinya merupakan keputusan yang tepat kerana sememangnya SOG Production ialah salah sebuah studio rakaman yang menjadi kegemaran banyak band dan artis pada ketika ini. Dan juga tidak disangkal lagi kualiti yang dihasilkan di studio ini adalah antara yang terbaik. Beliau juga sedang giat menyiapkan dua lagi lagu untuk dimuatkan dalam EP yang akan datang. Sebuah usaha yang baik!

Tutup pengenalan tentang Ali Idris, penulis ingin meneruskan dengan ulasan single terbaru ini pula. Seperti biasa penulis akan membedah siasat setiap aspek sehingga mencapai kesimpulan yang terbaik.

Dimulakan dengan susunan lagu ini sendiri. Baru 30 saat penulis dengar, dah beri sebuah harapan baru buat penulis. Easy Listening, catchy dan penulis menggemari bahagian korus yang mengingatkan penulis kepada beberapa band Japanese Rock dan pada pendapat penulis, terdapat beberapa penambahbaikan berbanding single sebelum ini dan yang paling jelas adalah, single ini lebih relax dan elemen pop telah disuntik dalam Perhiasan Kesayangan.

Yang kedua, dari sudut bunyi. Penulis amat menggemari tone gitar yang disampaikan. Tidak terlalu kotor dan lebih kemas di situ serta gitar solo yang membuatkan penulis melambaikan tangan. Cuma penulis lebih menggemari gitar solo pada single pertama beliau. Ini hanya pendapat penulis… Jangan marah haaa nanti kena jual.

Seterusnya lirik. Sesungguhnya lirik kali ini memberi bayangan tentang manusia yang masih bermain tarik tali dengan gadis yang dicintainya selepas cinta ditolak. Secara kasar, liriknya tidak kompleks dan easy to sing along. Di bait Engkau Perhiasan Kesayangan/ Bayangmu Memenuhi Alam/ Nyamanmu Tetap Bersamaku/ Walauku Mengerti/ Kau Menjauh Dari Diriku”, fuhh ibarat BB Gun yang ditembak ke dada.

Yang keempat ialah vokal. Penulis sangat menggemari tone vokal yang disampaikan. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Paling penting, ‘backup vocal’ dia memang class teruk. Kalau memandu sambil dengar lagu ini, memang penulis akan sing along sekuat yang mungkin sebab vokal di Perhiasan Kesayangan lebih bersih dan suci. Cuma pendapat penulis di sini, Menambat Hatimu vokalnya kedengaran lebih ikhlas. Bukan penulis kata Perhiasan Kesayangan ni tak ikhlas cuma Menambat Hatimu lebih sikit keikhlasan. Sekali lagi jangan marah haaaa… Nanti kena jual.

Yang terakhir ialah menerusi video muzik (MV) beliau yang terbaru ini. Penulis terpaku akan produktiviti mereka kerana dalam masa sebulan selepas peluncuran single, mereka dapat menyiapkan MV ini yang telahpun dimuatnaik ke saluran YouTube pada 16 Januari 2020. Penulis merasakan Ali Idris sangat serius dalam cita-cita beliau untuk memastikan produk mereka Mesra, Cepat, dan Betul. Tak sangka ada plot twist ya. Huhuhu.. Jika ingin tahu di manakah plot twist itu? Tontonlah MV mereka yang cantik lagi bersinar ini.

Secara konklusinya, single Perhiasan Kesayangan ini merupakan sebuah single yang harus diberi perhatian oleh semua orang kerana ia adalah sebuah lagu yang easy listening, lirik mudah diingati dan semestinya kualiti yang sangat baik dari SOG Production. Lagu ini seharusnya sudah berkumandang di corong-corong radio di Malaysia kerana menepati citarasa remaja alaf baharu.

Akhir kalam, penulis mengharapkan Ali Idris dan Para Penonton lebih banyak mengeluarkan single yang sendu dan paling penting, setepek di dada. Tahniah buat anda kerana menghasilkan single yang baik dan memberi impak berkesan kepada penulis dan diharapkan turut memberi impak buat pendengar yang lain. Dan dengar cerita juga Ali Idris akan melancarkan single terbaru dalam masa terdekat ini yang bertajuk Hujan September. Penulis tidak sabar untuk menanti hasil produk terbaru dari beliau.

Semoga kita akan bertemu di satu masa nanti. Adios!!!

Ikuti Ali Idris di:

Facebook

Instagram

Youtube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅