Music shaming — Tindakan menghina, mencaci atau merendahkan taraf selera muzik orang lain kerana tidak sesuai/ sama dengan selera muzik anda. Selain itu, ia juga boleh ditakrifkan sebagai menghina karya muzik penyanyi atau sesebuah kumpulan.
Sebenarnya music shaming ini merupakan satu bentuk buli yang sering berlaku dalam peminat muzik seperti kita.
Muzik seringkali dikaitkan dengan elemen penghubung untuk manusia berkongsi selera muzik tetapi ada di antara kita yang membina penghadang perbezaan muzik. Tamsilnya, kita sangat meminati sesuatu kumpulan muzik itu tetapi kita sering diejek kerana terlampau taksub atau sangat meminatinya.
Muzik adalah satu bentuk seni bersifat subjektif. Selera muzik seseorang sangat berbeza dan selalu dikaitkan dengan faktor umur, imej atau keinginan peribadi. Bersepah genre dihidangkan dalam dunia ini bahkan kita dibenarkan untuk mendengar kesemuanya tanpa batasan!
Percaya atau tidak, music shaming ini sering berlaku dalam kalangan peminat muzik indie/ underground di Malaysia. Maaf untuk penulis katakan, tetapi situasi sebegini benar-benar berlaku dalam kalangan mereka.
Seringkali mereka menganggap muzik indie sangat hebat di mata mereka sehingga merasakan muzik arus perdana tidak bagus dan sampah. Apabila ditegur, mereka mula melenting lalu memarahi penegur semula.
Namun, tidak dapat dinafikan, walaupun segelintir daripada mereka sering mencaci muzik mainstream seperti menghina menteri, tetapi mereka jugalah yang berjaya menghidupkan kembali scene tersebut.
Soalnya, adakah music shaming boleh memberi manfaat kepada industri muzik kita?
Jawapannya — Ya, dan Tidak. Setiap karya, tidak kira dalam apa jua bentuk, boleh dikritik dan pengkarya juga perlu sentiasa bersedia dengan kritikan. Namun, ia perlulah berlandaskan respon konstruktif dan berhemah. Jika kalian rasa lagu tersebut tidak bagus atau bermasalah, senaraikan apa masalahnya dan bagaimana artis tersebut boleh memperbaiki karya-karyanya di masa hadapan.
Dengan cara ini, jika mereka membaca komen kalian, sudah pasti reaksi mereka akan berbeza dan lebih terbuka. Caci maki dan hinaan TIDAK akan membantu langsung perkembangan industri muzik negara. Kita perlukan lebih ramai peminat muzik yang kritikal, yang mampu memberi impak kepada masa depan artis, bukan segerombolan fanatik yang hanya mahu semua orang mengikut selera mereka sahaja.
Sebagai penutup tirai, kita mungkin boleh hentikan music shaming ini kerana takut juga akan membawa kepada hal yang lebih teruk seperti depresi. Kalau nak kritik boleh, tetapi haruslah berpada-pada dan tidak mengikut emosi.