Minat dengan alunan jazz pop ala Tulus, Payung Teduh, RAN dan lain-lain? Anda wajib dengarkan karya terbaharu daripada Nick Ekhwan ini. Pemain bass Thy Fall of Baghdad yang kini bergerak secara solo ini baru sahaja melancarkan single kedua beliau, Pisah pada 19 Februari 2021 di saluran YouTube-nya.
Nick Ekhwan mengambil masa tiga bulan setelah pertama kali muncul dengan single pertama, Oh Dee Yell pada 27 November 2021 yang turut menampilkan Danial Abrar dari Rotan Chippers. Bezanya, Oh Dee Yell adalah 100 peratus instrumental dengan gitar menjadi fokus utama manakala Pisah adalah sebuah melankolia patah hati yang diluncur tatkala pencinta lain bergembira menyambut hari kekasih.
“Aku tulis lagu ni lepas aku putus dengan girlfriend aku. Kitorang kira putus cara baik. Tak ada gaduh-gaduh apa. Cuma aku je la yang koyak, sebab ex aku dah kahwin.”
Walaupun hanya sekadar demo, kualiti keseluruhan lagu ini masih boleh diterima. Menurut beliau, Pisah sengaja dikeluarkan secara demo untuk mencuba alat-alat rakaman home studio-nya. Segalanya ‘dikerjakan’ di rumah sementara beliau merancang untuk turut merakam material bandnya selepas ini dengan alatan yang sama.
Kesimpulannya, Pisah adalah sebuah naskah yang sangat baik dan memiliki potensi besar untuk mendekati kelompok pendengar lagu-lagu komersial jika diberi olahan yang lebih kemas dan dirakam secara profesional. Sementara menunggu versi rasminya, kita layan dulu yang telah terhidang ini sampai puas!
Ikuti Nick Ekhwan di: