Pendengar muzik di Malaysia pasti tidak asing lagi dengan nama Innuendo yang masyhur dengan lagu-lagu hits seperti Belaian Jiwa, Selamanya, Gemawan, Ratu Hati dan banyak lagi. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa salah seorang ahlinya, Pot Amir juga turut menggerakkan projek solo sejak 2005 dan telah meriliskan beberapa EP dan album termasuk kali terakhir bersama Alkaline Radiostar pada tahun 2019.
Album yang mengandungi sembilan trek berdurasi 37 minit ini dirakam di pelbagai studio dan versi awalnya diadun di Acid Rain, Platinum Studios KJ dan Rumi Musiclab sebelum mendapat khidmat remastering di Skunk Design Sudio oleh Afiq Salleh pada tahun 2019.
“Projek solo ini bermula sekitar tahun 2005 setelah Innuendo tutup kedai selepas konsert Force of Nature 2005. Melalui sebuah projek air bersama Syarikat Air Terengganu (SATU) saya ditemukan dengan Apuk Mahfuz, seorang lulusan muzik dari ASWARA dan seterusnya kami menubuhkan Radiostar. Sekitar 2008 setelah Apuk berkahwin dan berhijrah ke Kota Kinabalu, Sabah, nama projek ini ditukarkan kepada ‘ROSIN’ (mengambil abjad jawi RO dan SIN dari logo Radiostar). Pada tahun 2019 band pengiring saya dijenamakan semula sebagai ‘Alkaline Radiostar.'”
Mengulas tentang genre muzik yang diketengahkan, Pot Amir menyatakan Alkaline Radiostar membawa nuansa alkaline jazz dan merujuk kepada bunyi-bunyian runutbunyi sebagai kompas muzikal mereka. Daripada pegamatan penulis sendiri, corak penulisan dan struktur lagu-lagu dalam album ini sangat bervariasi sebenarnya, dibantu oleh pemuzik-pemuzik hebat yang terlibat. Ada jazz, keroncong, soul, R&B sehinggalah ke pop rock. Terasa seolah-olah ia diterbitkan pada tahun 90an di bawah kendalian Roslan Aziz Productions!
Kepada yang ingin tahu siapa pemuzik-pemuzik yang terlibat, ini penjelasan Pot Amir:
“Line up semasa rakaman berbeza-beza. Lagu pertama yang direkod adalah Pada Senyummu yang ditulis bersama Pacai (Bass & lain-lain) dan Arwah Aji (gitar). Direkod di Acid Rain Studio oleh Pacai dan dimuatkan dalam OST filem Afdlin Shauki, Buli Balik (2006). Masa tu belum jumpa Apuk lagi. Seterusnya dari 2006-2009 kita rakam muzik di Bakri Music Workshop dengan line up Apuk (gitar), Ikmal Hyzaz (Bass), Jimmy Jumin (keyboards) dan Bakri (drums). Semua vokal direkod di Platinum Studios Kelana Jaya (tempat Innuendo & Too Phat rekod dulu). 2010 saya bersama AlMawlid mengambil peluang ketika wedding show di KK untuk rekod di sebuah studio di sana (yang kini ditutup) untuk rakam Keroncong Hybrid untuk Bidadari dan SATU (live).”
Pot Amir yang mengidolakan P. Ramlee, Stevie Wonder dan runutbunyi filem menyatakan bahawa setakat ini, beliau telah merekod tujuh lagu baharu secara demo dan berharap agar dalam masa terdekat dapat meriliskannya dalam bentuk album.
Kepada yang teringin menikmati buah tangan terbaharu Pot Amir selepas ini, boleh nyatakan sokongan kalian dengan membeli CD Alkaline Radiostar lengkap dengan tandatangan beliau di Shopee dan Lazada dengan carian “Alkaline Radiostar,” juga di Sputnikz Record di Pasar TTDI, PBUY di Ipoh dan Cafe Keluarga di Bandar Saujana Putra. Selain itu, boleh juga strim di semua platform digital.
Penulis tinggalkan kalian dengan lagu kegemaran penulis dalam album Alkaline Radiostar; Keroncong Hybrid Untuk Bidadari. Sebuah trek yang dibalut gemersik suara Pot Amir, susunan lagu yang dinamik serta instrumentasi yang memukau daripada kesemua pemuzik.
Ikuti Pot Amir di: