Pretty Ugly Imbau Nostalgia Pandemik Melalui Single Terbaru!

oleh Aqil Syakir
1,233 views

Sebut sahaja nama Pretty Ugly, pasti anda semua akan teringat lagu paling popular mereka — Diari Seorang lelaki.

Sejak dulu lagi mereka sangat terkenal dengan keunikan lagu mereka dari segi penulisan lirik dan tajuk lagu. Antaranya, lagu Francis Ford Coppola, CD Bagasi Honey, dan Mr. Ronald Moore.

Kali ni mereka sekali lagi menciptakan keunikan dalam lagu terbaru mereka yang berjudul Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun Covid Melanda. Nampak tak? lain daripada yang lain kan.

Baiklah, lagu ini sebenarnya menceritakan hidup perlu diteruskan walaupun zaman pandemik ini sangat memberi kesan negatif kepada kita semua. ia juga ada menyebutkan nostalgia ketika PKP.

Mari penulis bedah lirik lagu mereka yang berkaitan dengan nostalgia PKP:

“Kau cemburukan posting aku di FB,

SUAMI MASAK APA HARI INI,”

Pada hujung bulan April, kita diviralkan dengan satu group Facebook — Suami Masak Apa Hari Ini. Luka hati rakyat Malaysia diubati dengan lawak dan telatah suami memasak di dapur.

Ia kemudian viral seantero Malaysia sehingga ada pengguna Facebook sengaja memasak dengan cara yang salah, semata-mata untuk dapatkan perhatian.

“Duduk di rumah hanya tunggu abah,

Umumkan berita duit nak keluar,”

Bahagian lirik ini juga berkait rapat dengan Perutusan Khas dari Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak kali disiarkan sampai semua orang muak. Selepas itu, ia juga menceritakan tentang semua orang tengah tunggu bila tarikh duit BPN keluar.

“EPF tak lulus.

Mana pergi itu fulus,”

Lirik ini berkaitan dengan ramai orang tidak lepas untuk mendaftar i-Sinar. Walaupun Kerajaan kata ia akan membantu rakyat kita dalam kesusahan tapi nak mohon pun punyalah susah. Lepas tu cakap ia merupakan bantuan dari Kerajaan, padahal duit kita sendiri.

Kalau nak borak pasal melodinya, ia mempunyai elemen catchy yang boleh memudahkan semua orang untuk sing-a-long. Penulisan lirik lagu yang menggunakan perkataan mudah. Jadi, senanglah orang untuk ingat lagu mereka ini.

Akhir sekali, kami ingin mengucapkan tahniah Pretty Ugly untuk single terbaru ini. Semoga lepas ni mereka boleh meneruskan berkarya dan meraih semula populariti dalam industri muzik di Malaysia.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati